Ahad, 12 Februari 2017

Dr Mahathir tiada hak desak PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan untuk mendesak PAS memberi keputusan kerjasama dengan gagasan pembangkang dalam tempoh sebulan.
 
Teguran itu disuarakan oleh Ketua Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Mustafa Ali, yang menegaskan soal kerjasama PAS dengan parti-parti pembangkang yang lain bukan perkara 'main-main' sehingga boleh diputuskan dengan begitu mudah.
 
"Dr Mahathir tidak boleh berlagak seperti beliau boleh menentukan, mengarahkan mana-mana parti politik. Tidak boleh begitu. Beliau kena faham. Masing-masing ada cara tersendiri. Dari segi perbincangan kena lihat suasana dan keadaan.
 
"(Memang) Lebih cepat lebih bagus, namun beliau tidak boleh tentukan ia mesti begitu, begini. Beliau tidak ada hak," katanya yang dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Kata Mustafa lagi, sikap mendesak yang ditonjolkan Dr Mahathir juga menggambarkan bekas perdana menteri itu belum 'masak' lagi dengan selok-belok politik pembangkang.
 
"Kita tidak tertakluk kepada mana-mana masa. Ikut proses perbincangan. Kadangkala perbincangan jadi cepat, ada jadi lewat. 
 
"Dr Mahathir tidak ada pengalaman sebagai pembangkang. Beliau berpengalaman dalam kerajaan sebab itu beliau tidak tahu cara pembangkang bekerja. Maka beliau kena belajarlah," kata Mustafa lagi.
 
Reaksi itu diberikan susulan Dr Mahathir, pada semalam berkata PPBM memberi tempoh masa sebulan kepada kepimpinan PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai pakatan harapan atau sebaliknya.
 
Meskipun kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan rahsia pada 1 Februari lalu, namun Dr Mahathir menegaskan keputusan segera perlu diperolehi untuk menentukan strategi seterusnya.
 
Mesyuarat pada awal bulan ini antara PAS dan PPBM, yang dipimpin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir diadakan untuk merintis jalan kerjasama kedua-dua parti berkenaan, selain penubuhan satu jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.
 
Sikap Tun M boleh jejas rundingan 
 
Mengulas lebih lanjut, Mustafa mendakwa sikap campur tangan Dr Mahathir akan memberi kesan kepada proses rundingan, termasuk partinya sendiri, apatah lagi beliau tidak terlibat secara langsung dalam rundingan itu.

"Ia boleh beri kesan kepada PPBM. Nampak PPBM tidak sekata. Dr Mahathir nampaknya ada pendirian lain, pemimpin lain pun ada pendirian yang tak sama dengan beliau. Menggambarkan Bersatu (PPBM) tidak bersatu, dan ia tak bagus," tegas Mustafa.
 
Sementara itu Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad menegaskan partinya tidak akan melayan desakan Dr Mahathir untuk memberi pendirian kerjasama tersebut dalam tempoh sebulan.
 
"Jika Dr Mahathir tidak boleh sabar, terpulang kepada beliau.
 
"Kita tak boleh paksa Dr Mahathir untuk ikut cara kita dan kita pun tak boleh ikut syarat yang ditetapkan kepada kita," ujarnya.
 
Tambah Mahfodz lagi, kedua-dua parti tidak pernah menetapkan sebarang tarikh bagi memuktamadkan keputusan kerjasama, maka tidak wajar untuk Dr Mahathir menyuarakan desakan sedemikian.
 
 

Tiada ulasan: