shahbudindotcom
Timbalan
Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memecah kebuntuan dengan
mengesahkan bahawa menteri yang didakwa mahu meletakkan jawatan
sebagaimana yang ditanyakan oleh Azmin Ali melalui laman Twitternya
semalam ialah Menteri Luar Negeri, Anifah Aman.
Saya tahu status laman sosial Azmin itu merujuk kepada Anifah Aman, kata Zahid.
Bagaimanapun
Zahid menafikan berita perletakan jawatan Anifah itu dan menyifatkan ia
sebagai suatu pembohongan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor.
Menurutnya,
beliau ada bersama Anifah di Kota Kinabalu malam tadi sebelum Menteri
Luar itu berangkat ke Brussels, Belgium hari ini atas tugasan rasmi.
Persoalannya,
bagaimana Zahid Hamidi tahu tweet Azmin itu merujuk kepada Anifah
sedangkan nama Menteri Luar itu tidak disebut sama-sekali?
Apa
yang dibangkitkan oleh Azmin hanyalah sekadar pertanyaan yang kemudian
disusuli dengan kenyataannya kepada media bahawa maklumat itu
diperolehinya daripada menteri berkenaan.
"Tunggu dan lihat, maklumat itu datang daripada orang yang berkenaan.
"Kita akan umumkan," kata Azmin lewat malam tadi.
Mungkin
tidak begitu menghairankan jika Zahid sekadar menolak ada mana-mana
menteri yang mahu meletakkan jawatan, tetapi apabila beliau tanpa
keraguan mengesahkan maksud tweet yang ditulis Azmin itu ditujukan
kepada Anifah, ia tentu menghairankan.
Oleh
kerana Zahid bersama dengan Anifah malam tadi, kebarangkaliannya ialah
beliau mengetahui tweet Azmin itu dimaksudkan kepada Anifah kerana ia
diberitahu sendiri oleh Menteri Luar itu.
Kemungkinan lain, ialah Azmin sendiri memberitahunya kepada Zahid. Tetapi, ia sangat mustahil boleh berlaku.
Dalam
hal ini, dua persoalan yang timbul ialah sama ada Zahid bertanya kepada
Anifah mengenai perletakan jawatan yang kemudian dinafikannya atau
turut bertanya adakah pada bila-bila masa Anifah ada bertemu dengan
Azmin mengadu tentang hasratnya mahu meletakkan jawatan?
Jika
Zahid mengetahui maksud tweet Azmin itu kerana diberitahu oleh Anifah,
ia dengan sendirinya mengesahkan Anifah memang ada bertemu Azmin dan
mengesahkan juga memang benar beliau pernah meluahkan hasrat mahu
meletakkan jawatannya.
Maka, tidak benarlah Azmin berbohong, sebaliknya Anifahlah yang telah membuat U-Turn.
Anifah
pula, bagaimana beliau boleh mengesahkan kepada Zahid bahawa tweet
Azmin itu berkaitan dirinya jika tidak pernah bertemu dan meluahkah
hasrat mahu meletakkan jawatan kepada Menteri Besar Selangor?
Persoalan
lain ialah kenapa sehingga ini Anifah sendiri tidak menafikan mengenai
perletakan jawatannya atau sama ada pernah atau tidak beliau bertemu
Azmin untuk menyampaikan hasrat perletakan jawatan tersebut?
Mengapa Zahid saja yang bercakap bagi pihak dirinya?
Kenyataan
Zahid pula secara tidak langsung mengesahkan adanya menteri yang tidak
puas hati dengan Najib dan ingin meletakkan jawatannya.
Sementara
itu, sambil mempertahankan tweetnya semalam, Azmin hari ini memberitahu
bahawa beliau tidak boleh mendedahkan nama menteri berkenaan kerana
menghormati perbincangan sulit antara mereka.
Selain itu, tambah beliau, jika nama menteri terbabit didedahkan, individu berkenaan juga akan berhadapan ugutan dan tekanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan