shahbudindotcom
Saranan
saya supaya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dimansuhkan untuk menjimatkan
RM22 juta setahun yang kini digunakan untuk mempertahankan Dato’ Seri
Najib Tun Razak telah mendapat reaksi Lokman Noor Adam, yang sebelum ini
berjawatan Panel Pemikir JASA. Menurut beliau, jika KEADILAN dan
Pakatan Harapan memenangi tampuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JASA
akan mempertahankan KEADILAN dan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu
kerana JASA bertanggungjawab mempertahankan kerajaan.
Pertamanya,
jika pun Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan
memerlukan satu kumpulan untuk menjawab isu-isu yang mengkritiknya,
kumpulan itu bukanlah dari kalangan pegawai-pegawai tinggi (termasuk
bekas pegawai tinggi) seperti Lokman Noor Adam dan Tun Faisal Ismail
Aziz kerana rekod buruk mereka mempertahankan dasar-dasar Dato’ Seri
Najib Tun Razak.
Mereka akan terus diingati
sebagai individu-individu yang bermati-matian mempertahankan bahawa GST
itu baik untuk rakyat, juga bermati-matian mempertahankan 1MDB walaupun
seluruh dunia tahu wang rakyat telah lesap.
Malah,
berani saya katakan bahawa akibat Umno menyerahkan tugas propaganda
kepada mereka inilah juga, kedudukan sokongan Umno di kalangan orang
Melayu pun sudah jatuh menjunam sehingga hanya 40% pengundi Melayu yang
akan mengundi Umno dalam PRU14 mengikut Kajiselidik PRU14 yang disertai
104,000 pengundi baru-baru ini.
Keduanya, saya
yakin Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak
memerlukan sebarang jabatan propaganda berdasarkan prinsip-prinsip
berikut:
1. Tugas menjawab kritikan dan serangan
ke atas sebarang dasar Kerajaan Persekutuan adalah tugas menteri yang
bertanggungjawab. Beliau perlu mempertahankan dasar yang diperkenalkan
partinya semasa memerintah dan jika beliau tidak mampu, maka beliau
sewajarnya dipecat oleh Perdana Menteri atau tidak diundi rakyat dalam
pilihanraya
2. Sebarang sebaran maklumat yang
bukan menghebahkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak boleh
dibuat oleh jabatan kerajaan yang ditanggung rakyat, apatah lagi
propaganda yang mempertahankan pemimpin dan parti politik yang dituduh
terlibat di dalam penyelewengan wang rakyat.
Maka, saya yakin Pakatan Harapan akan memansuhkan JASA dan kakitangannya berkemungkinan akan diagihkan seperti berikut:
i.
Kakitangan tetap yang telah menjadi sebahagian dari perkhidmatan awam
akan dipindahkan ke jabatan atau kementerian yang memberikan khidmat
terus kepad rakyat seperti pendidikan, kebajikan dan kesihatan
ii. Semua lantikan politik di peringkat tertinggi JASA akan ditamatkan perkhidmatan
iii.
Semua lantikan kontrak yang melibatkan ahli Umno yang didapati dilantik
khusus bagi tujuan propaganda akan ditamatkan perkhidmatan
Saya
menyemak senarai jawatan JASA di seluruh negara yang mempunyai 272
kakitangan (rujuk Buku Senarai Perjawatan yang dilampirkan). Pecahan 272
kakitangan itu adalah seperti berikut:
Pejabat Ketua Pengarah – 6 orang
Bahagian Gerak Saraf dan Perancangan Dasar – 3 orang
Bahagian Pembangunan Insan – 4 orang
Bahagian Khidmat Pengurusan – 36 orang
Jawatan Sementara Lantikan Kontrak – 127 orang
Pembantu tadbir, penolong akauntan, juruaudio, pemandu – 96 orang
Ini
bermakna, 47% dari keseluruhan kakitangan JASA di seluruh negara adalah
Jawatan Sementara Lantikan Kontrak (dengan kod JSKT). Jika dicampur
dengan pegawai-pegawai tinggi yang juga adalah lantikan politik, maka
saya anggarkan 50% dari kakitangan JASA adalah lantikan kontrak yang
selalunya adalah lantikan politik untuk ahli-ahli atau pemimpin Umno
mendapat imbuhan.
Oleh yang demikian, saya menyeru
supaya Ketua Pengarah JASA menyiarkan nama setiap penjawat Jawatan
Sementara Lantikan Kontrak (JSKT) di ibu pejabat JASA dan pejabat JASA
negeri-negeri agar orang ramai dapat mengesahkan sama ada benar JASA
digunakan untuk menempatkan aktivis Umno menjalankan kerja propaganda
dengan dibayar oleh rakyat.
Jika Ketua Pengarah
JASA enggan berbuat demikian, ia akan terus mengukuhkan dakwaan bahawa
aktivis Umno dilantik ke jawatan kerajaan melalui kaedah JSKT untuk
menjalankan kerja propaganda mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan