Isnin, 17 Oktober 2016

UPM hasilkan formulasi teknologi hijau kawal siput gondang

 
 
Racun botanikal perosak tanaman padi yang boleh menghapuskan siput gondang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 17 Okt. 2016.
Racun botanikal perosak tanaman padi yang boleh menghapuskan siput gondang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

Formulasi racun botanikal perosak tanaman padi, siput gondang mengguna bahan mesra alam berjaya dicipta oleh penyelidik-penyelidik Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Produk teknologi hijau yang menggunakan saponin sebagai bahan aktif utama yang diekstra dari Furcrarea selloa sebanyak 10 peratus manakala 90 peratus lagi menggunakan bahan lengai berasaskan sayuran yang efektif untuk mengawal siput gondang.

Menurut Ketua Projek, Prof. Dr. Rita Muhamad Awang, antara ciri istimewa produk berkenaan adalah ianya mudah diurai, menjadi tidak merbahaya dan saponin tidak kekal di dalam persekitaran untuk mengakibatkan pencemaran.

"Semburan produk ini perlu dilakukan sebelum tanaman padi dilakukan kerana apabila air naik, siput-siput gondang ini akan muncul dari dalam tanah dan memusnahkan padi-padi yang telah ditanam.

"Siput-siput gondang ini boleh berhibernasi selama setahun atau dua tahun dan kembali aktif apabila terdapat air di kawasan tersebut," katanya semasa taklimat media berhubung produk berkenaan di sini hari ini.

Menurut Rita, petani memerlukan 1.8 liter formula tersebut bagi kawasan seluas satu hektar namun beliau masih belum mendedahkan harga pasaran produk berkenaan.

"Kos untuk menghasilkan formula ini sangat murah tetapi apabila dikeluarkan secara komersial pastinya ada kos-kos lain yang perlu ditanggung.

"Kami masih belum memutuskannya,” katanya.

Formulasi nano-emulsi saponin untuk mengawal siput gondang itu merupakan salah satu daripada lima produk UPM yang memperolehi paten daripada Geran Skim Program Kajian Jangka Panjang (LGRS) untuk UPM bernilai RM10 juta sejak 2011.

Produk tersebut akan dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Jerteh, Terengganu pada 30 Oktober 2016.

Ia juga akan dipamerkan pada Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM pada 20 hingga 26 Oktober ini. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: