Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS tetap menolak sebarang usaha rundingan atau kerjasama
dengan DAP dan Amanah, meskipun tawaran itu akan digerakkan oleh Tun Dr
Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik menegaskan Pengerusi dan
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak perlu menjadi
orang tengah dalam usaha perdamaian itu kerana PAS tetap dengan
keputusan menolak dua parti itu.
"Kita rujuk kembali kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang bahawa kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana (pihak).
Bukan bergabung, tetapi bekerjasama, namun tidak dengan DAP dan Amanah.
Ia satu kenyataan jelas daripada Presiden.
"Sekiranya Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) berfikir untuk
menyatukan gabungan itu, termasuk mengajak PAS, DAP dan Amanah, bermakna
mereka kena lupakan hasrat itu," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Mokhtar menyatakan respon terhadap hasrat PPBM yang akan terus
mengadakan perbincangan dengan PAS dalam usaha memulihkan hubungan parti
dengan seterunya, DAP dan Amanah.
Dr Mahathir pada Sabtu lalu berkata akan memujuk PAS dalam usaha
menyatukan kesemua parti pembangkang, apatah lagi dalam keadaan Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.
Sebelum Dr Mahathir berbuat demikian Muhyiddin terlebih dahulu
menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyatukan PAS dengan
parti-parti pembangkang yang lain.
Muhyiddin turut mendakwa memperolehi sokongan positif daripada kepimpinan tertinggi parti itu.
Namun PAS tampil dengan kenyataan baru, menerusi Ketua Penerangannya,
Nasruddin Hassan yang menegaskan partinya tidak akan menjalinkan apa-apa
kerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP dan
Amanah.
Dalam isu berlainan, Mokhtar menegaskan sikap wakil Persatuan Hokkien
yang menyebabkan mereka enggan memahami sepenuhnya isu rang
undang-undang (RUU) yang mahu memberikan kuasa lebih kepada mahkamah
syariah.
03:40 - 03:57
"Dalam isu perjumpaan dengan Persatuan Hokkien baru-baru ini bukanlah
kegagalan kita memberikan penerangan, sebaliknya kegagalan mereka
memahami penjelasan kita. Jika mereka tak faham lagi, mereka kena
panggil kita untuk beri penerangan sebab ia sudah jelas," katanya.
Bulan lalu PAS mengadakan satu pertemuan dengan Persatuan Hokkien untuk
menjelaskan cadangan pindaan tersebut, namun berakhir dengan tiada
kesepakatan.
PAS yang diketuai Hadi turut diwakili Bendahari Mohamad Noor Mohamad,
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dr Najihatus Solehah dan Timbalan
Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi, Datuk Dr Mohd Fadhli
Hassan.
Untuk rekod Persatuan Hokkien mensasarkan sejuta tanda tangan dalam
kempen membantah RUU yang dikemukakan Hadi di Dewan Rakyat pada Mei
lalu.
RUU dibentangkan Hadi itu dijangka akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan ini.
Pindaan RUU itu membolehkan hakim mahkamah syariah menjatuhkan hukuman
melebihi apa yang dihadkan sebelumnya iaitu penjara 3 tahun, denda tidak
melebihi RM5,000 dan 6 sebatan, dalam apa yang dilihat sebagai usaha
awal kerajaan PAS di Kelantan melaksanakan hukum hudud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan