N Faizal Ghazali
Peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
dalam usaha kerajaan membangunkan bidang sukan negara diharap dapat
dimanfaatkan dengan sewajarnya, kata bekas atlet negeara, Zaki Sadri.
Bekas jaguh lompat kijang itu berkata, peruntukan sebanyak RM1.2
bilion bagi pembangunan sukan seperti dibentangkan perdana menteri
adalah satu berita gembira.
"Sebagai orang yang berada dalam bidang sukan saya memang gembira dan amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak.
"Cuma diharapkan peruntukan tersebut dapat disalurkan dengan baik dan
tidak berlaku ketirisan sepertimana yang berlaku dalam KBS sebelum ini.
"Perkara seumpama itu mencerminkan kepimpinan dalam kementerian atau kakitangan yang tidak amanah," katanya dengan merujuk isu penyelewengan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta melibatkan KBS, awal tahun ini.
Semalam, Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan RM1.2 bilion peruntukan untuk pembangunan sukan melalui Bajet 2017.
Jumlah itu sebahagian besarnya melibatkan peruntukan sebanyak RM450
juta untuk penganjuran Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 pada
tahun depan.
Bajet sukan tahun depan itu meningkat berbanding jumlah yang diperuntukkan untuk tahun ini yang berjumlah RM930 juta.
Zaki berkata, kes penyelewengan yang melibatkan KBS itu perlu diselesaikan dan mereka yang terlibat perlu dibersihkan segera.
"Jika tidak berapa banyak pun yang perdana menteri luluskan, tidak
100 peratus akan dinikmati oleh atlet dan pembangunan sukan itu sendiri.
"Ia hanya akan mengembungkan kocek (saku) mereka ini yang
bertopengkan sebagai pencinta sukan, tapi pada dasarnya bukan membantu
untuk membangunkan malah menjadi perosak tegar.
"Golongan seperti itu adalah parasit yang menumpang atas nama sukan," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan