Khamis, 8 September 2016

Dana buku: Mungkin ada individu lain terlibat

SINAR HARIAN

SPRM
SPRM


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan didakwa berhubung kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata kesemua butiran pihak yang terlibat telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada lagi pihak yang akan dituduh dalam tempoh terdekat tetapi saya tidak boleh mendedahkan butiran mengenai bila dan siapa individu terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.‎

Azam berkata, individu yang akan dikenakan tuduhan itu bergantung kepada pertimbangan timbalan pendakwa raya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan bukti-bukti sedia ada dan hanya menunggu keputusan dibuat oleh timbalan pendakwa raya.

Pada 25 Ogos lepas, SPRM menahan lapan orang termasuk Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak bagi membantu siasatan kes itu, manakala Pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal ditahan pada 29 Ogos, ketika tampil memberi keterangan di pejabat SPRM.

Mustafha dan Abdul Aziz yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 juta, Mac lepas, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah. - Bernama


Tiada ulasan: