KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah
dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini
dilanjutkan mulai esok hingga 10 Oktober ini dari pukul 7 malam hingga 5
pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, dengan
perlanjutan itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan diminta
berada di rumah dan dilarang memasuki kawasan berkenaan sepanjang tempoh
itu.
Abdul Rashid dalam kenyataannya hari ini berkata, perairan yang
terlibat dalam perintah berkurung itu meliputi daerah Tawau, Semporna,
Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
"Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung di situ ialah untuk
memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang
mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan
penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,"
katanya.
Menurut Abdul Rashid berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan
pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan
penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk
melakukan jenayah rentas sempadan.
Katanya, perintah berkurung itu juga diteruskan bagi menjamin
keselamatan pengguna perairan tersebut serta mereka yang tinggal di
kawasan daratan Esszone.
Menurutnya, perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan
pemantauan terhadap pergerakan bot, sekali gus mewujudkan rasa selamat
dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran anggota
keselamatan di sekitar kawasan mereka.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan
Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan
aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang
mendesak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan