SHAH ALAM: Kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd
Noor bahawa Rang Undang-undang 355 tidak boleh disama taraf sebagai
undang-undang Allah kerana ia usaha manusia, dilihat seolah-olah menjaga
kepentingan politik parti tertentu.
Sambil membidas kenyataan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk
Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bagi menegakkan
perintah Allah.
"Apa kehendak Allah? Kehendak Allah ialah RUU ini memberi kuasa kepada
mahkamah syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan syariat
Allah.
"Adakah selama ini dengan Akta 355 yang memberi kuasa kepada mahkamah
syariah menghukum pesalah syariah hanya sekadar 3 tahun penjara, RM5,000
denda dan 6 kali sebatan itu bertepatan dengan syariah?
"Adakah mufti memperakui perkara ini? Adakah mufti bersetuju Akta 355
ini bertepatan dengan syariah?," kata Khairuddin yang dipetik sebuah
portal.
Semalam, Wan Salim meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan
orang yang tidak bersetuju dengan usul Hadi yang mahu meminda Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
Wan Salim berkata, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli
parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.
"Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh ALLAH
SWT, tetapi RUU 355 hanyalah satu langkah ke arah memperkasa dan
memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia," petik kata mufti itu
semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan