Rabu, 7 September 2016

APAKAH BERTEMUNYA TUN M DENGAN ANWAR SEBAGAI PERSEDIAAN JIKA BERSATU TIDAK DILULUSKAN?

shahrudindotcom


Tidak ada sesiapa dapat menafikan bahawa pertemuan Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim setelah 18 tahun bermusuhan, adalah "rahmat besar"  kepada parti-parti pembangkang dalam usaha untuk menyingkirkan Najib Razak.

Gabungan pembangkang yang ditunjangi Pakatan Harapan dan Bersatu kini mendapat lebih keyakinan daripada rakyat untuk terus menggerakkan perubahan. Apabila dua tokoh berpengaruh yang selama ini bermusuhan, sanggup melupakan perbezaan atas keinginan bersama menyelamatkan negara, rakyat juga tidak teragak-agak untuk turut serta.

Blog ini dalam artikelnya pada 17 Mei lalu, berikutan tersebarnya surat Anwar yang meminta pimpinan PKR agar berhati-hati terhadap muslihat Tun Mahathir, pernah menyarankan agar kedua-dua pemimpin berkenaan bersatu hati dan melupakan persengketaan jika benar Najib yang sama-sama mahu disingkirkan.
 
 
 
 
Ketika itu, Tun Mahathir sudah keluar UMNO dan mula berbaik-baik dengan pimpinan parti-parti pembangkang termasuk PKR, tetapi terlihat masih membuat beberapa ulasan yang tidak menyeronokkan mengenai Anwar. Ia kemudian disusuli pula dengan surat yang ditulis Anwar dari dalam penjara yang turut menyebut mengenai kronisme dan nepotisme.

Hari ini, semua kita tentunya bersyukur kerana Tun Mahathir dan Anwar benar-benar sudah berdamai. Walaupun pada permulaan ini ia mungkin hanya berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara, namun ia pasti berkembang menjangkau pelbagai isu lain dari semasa ke semasa.

Dengan berbaiknya Tun Mahathir dan Anwar, lebih ramai yang berani dan terbuka bercakap mengenai perubahan. Ikut hukum akal, selain Najib sendiri semakin terbelenggu dengan banyak isu ciptaannya sendiri, sukar diterima dan hanya keajaiban saja yang mampu menyelamatkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Tetapi, mengapa Tun Mahathir memilih untuk bertemu dan berbaik dengan Anwar pada tarikh 5 September 2016?

Jika kita masih ingat, parti Bersatu yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir dan diketuai oleh Muhyiddin Yassin, telah mengemukakan pendaftarannya pada 9 Ogos yang lalu. Mengikut janji Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, tempoh 30 hari diperlukan oleh sebuah jawatankuasa penilai yang akan mencadangkan kepadanya, sama ada Bersatu memenuhi segala syarat untuk diluluskan atau sebaliknya.

Ini bermakna, menjelang 9 September ini, cadangan jawatankuasa itu sudah sepatutnya berada di atas meja Zahid Hamidi untuk beliau umumkan sama ada  pendaftaran Bersatu diberikan kelulusan atau tidak.

Dalam hal ini, apakah Tun Mahathir sengaja memilih untuk bertemu dan berdamai dengan Anwar beberapa hari sebelum Bersatu sepatutnya menerima jawapan, sebagai satu cara untuk memberi tekanan kepada Najib dan kerajaan?

Kiranya pendaftaran itu diluluskan dalam beberapa hari akan datang, Bersatu dengan sendirinya akan mendapat lonjakan politik yang tinggi kerana ia berlaku beberapa hari saja selepas bersalamnya Tun Mahathir dengan Anwar.

Rakyat akan melihat Bersatu sebagai parti yang benar-benar untuk perubahan dan Najib semakin tidak selamat kedudukannya.

Jika Bersatu tidak diluluskan pula, ia dengan sendirinya memberi gambaran bahawa Najib dan kerajaan sedang ketakutan dan cuba melakukan sekatan terhadap kewujudan parti itu.

Persepsi berkenaan akan didendangkan dengan seluas-luasnya yang akhirnya menjelmakan Najib sebagai pemimpin yang tidak demokratik, menyalahgunakan kuasa serta takutkan cabaran. Bersama ketakutan seperti berdebat dan menjawab isu 1MDB serta derma RM2,600 juta di Parlimen sebelum ini, imej Najib tentu saja kian tersudut di hati rakyat.

Bermakna, sama ada Bersatu diluluskan atau tidak, Tun Mahathir lebih dahulu menghitung untung ruginya. Percaturannya ialah berbaik semula dengan Anwar.

Malah, jika Bersatu tidak diluluskan sehingga PRU 14 akan datang, dengan termetrainya hubungan baik dengan Anwar itu, tidak memeranjatkan jika PKR akan menjadi wadah pilihan sementara bagi Kumpulan Tun Mahathir untuk bertanding dalam pilihanraya nanti.

Melalui hubungan yang sudah terjalin dengan Anwar, Tun Mahathir lebih mudah merundingkan penyatuan itu bersama PKR nanti. Penyokong Tun Mahathir yang ketika ini rata-ratanya sudah dapat menerima Anwar, tidak lagi menjadi masalah untuk bersama-sama dengan PKR.
 
 
 

Tiada ulasan: