Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Kerjasama PAS bersama parti-parti pembangkang yang lain
hanya boleh dicapai sekiranya mereka menerima Gagasan Sejahtera, tegas
seorang pemimpin PAS Kelantan.
Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata
demikian mengulas gesaan beberapa parti politik pembangkang yang mahu
PAS turut 'bersama' dalam usaha menentang Umno-Barisan Nasional (BN)
dengan mewujudkan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) kelak.
Gagasan Sejahtera adalah blok baru yang dianggotai PAS bersama Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah
SeMalaysia (Berjasa).
"Jika semua sepakat dan menerima Gagasan Sejahtera, ia akan menjadi
tindakan berjaya. Jika mereka tidak terima, maka tak boleh bersama.
"Kita tidak pernah tutup ruang perbincangan. Jika ia benar berlaku,
maka ia satu langkah positif, langkah yang baik," ujarnya kepada
Antarapos, hari ini.
Sebelum ini PKR dan DAP menyuarakan gesaan mereka terhadap PAS supaya
bersatu dalam usaha mengalahkan Umno-BN supaya tidak berlakunya
pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun langkah itu kurang disenangi PAS memandangkan ia secara
langsung 'menjalin' kerjasama dengan Amanah, yang merupakan parti
serpihannya.
Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP terkubur
tahun lalu ekoran perbalahan berterusan PAS dengan DAP yang enggan
bersetuju bersabit dasar Islam yang dibawa PAS.
Hingga kini, PAS hanya mengekalkan tahaluf siyasinya dengan PKR, berdasarkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor.
Kerjasama PAS dan pembangkang dikatakan akan digerakkan oleh Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
bakal berkongsi pentas dengan beberapa pimpinan tertinggi PAS di Kuala
Terengganu esok.
Diajukan hal itu, Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan
Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan menyifatkan ia perkara
yang baik dalam tujuan memastikan pembangkang tidak bertembung kerusi
sesama mereka.
"Yang kita bincang sekarang adalah untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Muhyiddin sebelum ini menyatakan keyakinannya mampu menjadi pengikat
agar PAS bersama pembangkang dalam usaha mengelakkan pertandingan tiga
penjuru pads PRU14.
Menerusi Program 'Himpunan Harapan Semua' di Terengganu esok, Muhyiddin
akan bersama bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Pengarah Pilihan
Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu,
Yahaya Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan