Isnin, 19 September 2016

Amanah tidak akan melutut, tolak politik siku dan lutut

ARIF ATAN
 
 
Shazni Munir Shazni Munir Pemuda Amanah Nasional menyifatkan mereka tidak akan mudah melutut atau berputus asa dalam memposisikan parti itu sebagai wadah perjuangan Islam di negara ini.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Amanah dalam konteks lebih besar berjuang dengan visi untuk merealisasikan konsep Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Mengulas dakwaan kononnya Amanah akan melutut mengiktiraf kekuatan Pas seperti disebutkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, kenyataan itu tidak berfaedah kepada rakyat.

"Apa manfaatnya kepada rakyat dengan kata-kata angkuh begitu?

"Sejujurnya kita ingin katakan bahawa tugas kita jauh lebih besar daripada melayan 'ahli nujum politik' seperti itu," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurutnya, kenyataan berbaur bongkak itu juga secara tidak langsung menggambarkan hilangnya iltizam politik dalam membantu agenda perubahan yang lebih sejahtera kepada rakyat.

"Dengarlah suara perubahan yang diingini rakyat. Bukan dengan lontaran kasar yang akhirnya mengundang jelik anak muda kepada politik Islam," ujarnya.

Mengulas lanjut ulang tahun pertama penubuhan Amanah pada bulan ini, Shazni berkata, parti itu sama sekali tidak mengamalkan politik samseng sebaliknya sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan segenap lapisan rakyat.

"Amanah akan sentiasa memastikan setiap langkah politik yang diambil menyantuni keseluruhan sisi hidup rakyat.

"Kita juga tidak bersikap mementingkan diri sendiri, apatah lagi ingin 'melututsikukan' mana-mana pihak," tegas Shazni lagi yang juga Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah Nasional.

Tiada ulasan: