Lebih
3,000 penduduk Rumah Pangsa Kos Rendah di Pandan Perdana mendesak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun Perbadanan
Pengurusan Bersama (JMB) rumah pangsa tersebut yang didakwa telah
diselewengkan bernilai lebih RM500,000.
Wakil penduduk, Chong Kah Siong berkata, wang yang dipercayai
diselewengkan itu adalah hasil kutipan yuran bulanan yang dikenakan ke
atas setiap rumah untuk tujuan penyelenggaraan termasuklah bil elektrik
untuk kawasan sekitar, lif dan air.
Chong Kah Siong
"JMB sepatutnya membayar yuran yang dikutip itu kepada pihak
terbabit seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi mereka tidak
berbuat demikian sejak sekian lama.
"Kami pun tak tahu berapa lama mereka tak bayar kepada TNB sehingga
keluar berita yang mengatakan TNB akan memotong bekalan elektrik di
kawasan rumah pangsa ini.
"Adalah tidak adil jika TNB membuat pemotongan dan kami selaku
penduduk di sini membantah tindakan tersebut kerana tunggakan melebihi
RM500,000 itu adalah dibawah tanggungjawab JMB yang membuat kutipan ke
atas kami setiap bulan," katanya pada sidang media di hadapan pejaba
SPRM di Taman Maluri, Cheras Kuala Lumpur pagi tadi selepas membuat
laporan.
Jelas Kah Siong lagi, masalah air yang akan dipotong oleh Syabas
juga tidak sepatutnya berlaku ke atas penghuni rumah pangsa tersebut.
"Bukan kita tidak bayar tetapi pihak JMB yang tidak menjelaskan kepada Syabas sehingga tertunggak sebanyak RM135,470.
"Ketidaktelusan JMB sangat mengecewakan kami dan kami sifatkan
mereka sudah cukup melampau walaupun kami telah beberapa kali meminta
mereka memberi penjelasan yang tidak mendapat jawapan sewajarnya.
"Maka kami terpaksalah datang ke SPRM untuk membuat laporan kerana
kami percaya, pihak JMB tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebaiknya
telah menyusahkan penduduk di rumah pangsa ini," katanya.
Seorang penduduk, Yong See Lee ketika ditemui memberitahu, penduduk
mahu JMB menyelesaikan masalah tersebut kerana penduduk tidak pernah
lupa membayar yuran selenggara yang dikenakan setiap bulan.
Yong See Lee
"Kita bayar tapi kita tak tahu ke mana duit itu sudah pergi.
Sepatutnya mereka jujur dengan kami dan tidak menyusahkan penduduk di
sini,” ujarnya yang telah tinggal di situ sejak 12 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Chew Giat Eng berkata, lif di rumah pangsa
tersebut sering tidak berfungsi akibat tindakan TNB memotong bekalan
elektrik tanpa notis.
Chew Giat Eng
"Saya sudah tua dan tak larat untuk naik tangga sehingga tingkat
tujuh kerana lif tidak berfungsi. Kami sangka lif rosak tetapi
rupa-rupanya TNB potong bekalan kerana JMB tidak bayar kos
penyelenggaraan.
"Kalau JMB tidak bayar, tak perlulah kutip yuran," katanya. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan