Isnin, 19 September 2016

Projek rumah Gen 2 terbengkalai, Anak minta penjelasan Felda

ARIF ATAN
Mazlan menunjukkan sebahagian daripada 539 unit rumah Gen 2 di Felda  Papan Timur, Kota Tinggi Johor yang terbengkalai sejak lima bulan lalu.Mazlan menunjukkan sebahagian daripada 539 unit rumah Gen 2 di Felda Papan Timur, Kota Tinggi Johor yang terbengkalai sejak lima bulan lalu.
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) meminta penjelasan Felda berhubung projek Perumahan Generasi Kedua (Gen 2) di Felda Papan Timur, Kota Tinggi Johor yang terbengkalai sejak lima bulan lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, projek rumah teres setingkat sebanyak 539 unit itu difahamkan mula dibina lebih tiga tahun lalu melalui pemaju, Felda Engineering Services Sdn Bhd dengan menempatkan lebih 100 pekerja kontrak.

"Kini, projek terhenti lebih kurang lima bulan. Yang tinggal, seorang pengawal keselamatan dan tiga pekerja dengan upah harian.

"Masih ada staf di bawah Felda Engineering, tetapi tidak dipastikan, apa tugasan mereka," ujarnya berdasarkan tinjauan ke tapak projek tersebut baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berhubung status terkini projek berkenaan.

"Berapakah yang telah dibelanjakan? Adakah ia termasuk projek sakit seperti kenyataan beliau di media baru-baru ini?

Walaupun Felda bertindak sebagai pemaju tetapi papan projek memaklumkan sebagai projek kerajaan BN.Walaupun Felda bertindak sebagai pemaju tetapi papan projek memaklumkan sebagai projek kerajaan BN.


























"ANAK dimaklumkan, ada lagi projek terbengkalai seumpamanya di Felda lain. Apa masalahnya?

"Bukankah seperti diumum oleh Perdana Menteri dalam bajet tahunan, ia projek Kerajaan Persekutuan?" soalnya.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional turut mempersoalkan kewajaran Felda berbelanja sebanyak RM400 juta hingga RM600 juta untuk menjadi pemaju perumahan.

"Padahal, Felda sendiri mempunyai beban kewangan yang sama sama kita maklumi, ekoran penyenaraian FGV (Felda Global Ventures Holdings Bhd) di Bursa Malaysia," bidasnya.

Menurut beliau, situasi projek perumahan untuk generasi kedua Felda yang terbengkalai itu amat menyedihkan memandangkan anak peneroka sedia berkorban untuk menetap di Felda sebagai pelapis ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia atau uzur.

"Harapan mereka untuk mendapat kediaman selesa tidak menjadi kenyataan," ujarnya.

Mazlan juga mendedahkan satu lagi contoh projek yang mengalami nasib sama membabitkan 360 unit rumah di Felda Sungai Sibol dalam Parlimen Tenggara dengan kos RM45 juta.

Walaupun telah siap lebih setahun lalu, ujarnya, tetapi masih belum diduduki.

"Jika seunit berharga RM125,000, adakah ia mampu dibeli anak peneroka tempatan yang berpendapatan rendah tapi amat memerlukan?

"Jika di subsidikan dengan harga RM90,000 seperti di umumkan kerajaan, siapa yang akan menanggung beban, sedangkan ia projek Felda?" soalnya lagi.

Sehubungan itu, tegas beliau, pihaknya tidak bersetuju Felda terbabit sebagai pemaju perumahan kerana bukan sahaja melibatkan soal kepakaran dan pengalaman bahkan paling utama kemampuan kewangan Felda itu sendiri.

"Felda harus menjadi agensi yang sifatnya sebagai perantara atau orang tengah yang berunding dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri demi memastikan impian anak-anak peneroka yang susah untuk memiliki kediaman sendiri menjadi realiti," tegas Mazlan lagi kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pinjaman belum lulus 

Anak menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjelaskan status ribuan rumah Gen 2 yang terhenti di tengah jalan tanpa sebab munasabah. Anak menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjelaskan status ribuan rumah Gen 2 yang terhenti di tengah jalan tanpa sebab munasabah.
Isa  pada 29 Ogos lalu dilapor menafikan Felda tidak mempunyai wang untuk melaksanakan pembinaan rumah generasi kedua.

Sebaliknya, pemimpin veteran Umno itu memberitahu projek berkenaan diberhentikan sementara kerana pinjaman bank yang belum diluluskan.

“Tetapi takkanlah semuanya hendak gunakan duit Felda? Mesti gunakan pinjaman juga," ujarnya dan memberitahu rumah tersebut dapat disiapkan pada April atau Mei tahun depan apabila pinjaman itu diluluskan pada akhir Ogos lalu.

Menurut Isa lagi, Felda telah berbelanja sebanyak RM500 juta bagi tujuan projek kediaman Gen 2 dengan rumah jenis pertama yang berharga RM90,000 seunit mencecah kos kira-kira RM1.6 bilion.



Tiada ulasan: