Isnin, 19 September 2016

Mengapa polis masih belum tangkap Ali Tinju?



Teo_Nie_Ching_16072013_620_412_100

 Roketkini.com


JOHOR BAHRU: Pihak polis masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemimpin Gerakan Merah Malaysia, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju berhubung ancamannya terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata walaupun polis tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih 5 yang akan datang, hak keselamatan Maria sebagai seorang rakyat Malaysia harus dipelihara.

“Beliau berhak mendapat perlindungan yang dijanjikan di bawah undang-undang, iaitu untuk hidup bebas daripada ketakutan, keganasan dan penderaan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, sikap polis terhadap Ali Tinju adalah berbeza sama sekali dengan tindakan mereka ke atas pengkritik kerajaan yang sering ditahan dan disoal siasat dengan segera.

“Bulan lepas, 14 polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyerbu rumah seorang wanita hamil kerana kononnya menghina Rosmah Mansur (isteri Perdana Menteri).

“Sebelum ini pula pada bulan Julai, seorang lelaki warga emas ditahan kerana berkongsi foto dalam kumpulan WhatsApp kerana polis mendakwa beliau menghina Najib Razak,” ujarnya.

Nie Ching menegaskan, jika ancaman Ali Tinju kepada Maria itu digunakan seseorang ke atas Perdana Menteri atau isterinya, dia pasti segera ditangkap oleh polis.

“Tindakan polis mendiamkan diri adalah sama dengan menggalakkan samseng seperti Ali Tinju untuk melaksanakan undang-undang dengan tangan mereka sendiri. Langsung tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Baru-baru ini, Ali yang juga bekas anggota tentera mengugut akan ‘menyerang hendap’ serta meminta Maria berwaspada atau beliau nanti ‘tidak akan berjalan di atas muka bumi’ seperti dilapor media. – Roketkini.com


Tiada ulasan: