Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Barisan Rakyat, yang bakal membentuk gabungan baru kesemua
parti pembangkang untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
dikhuatiri akan menerima nasib mirip Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul mengambil contoh pendaftaran PR yang
tidak pernah diluluskan, sehinggalah gabungan antara PKR-DAP-PAS itu
terkubur pada Jun tahun lalu.
Johari berkata demikian sebagai respon terhadap syor Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), menerusi Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir yang mahu kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang
bernaung di bawah satu logo bagi mendepani BN pada PRU14 akan datang.
"Jika ini dibawa oleh Mukhriz, saya tegaskan ia bukan perkara baru.
(Namun) tiada masalah di pihak PKR dan parti-parti lain untuk bertanding
di bawah satu logo.
"Saya dimaklumkan ada beberapa syarat tertentu yang dikemukakan oleh
pihak pemerintah. Jika gabungan yang disaran didaftarkan pun tidak
diluluskan (PR), saya tak jangka mereka akan benarkan (pendaftaran
gabungan baru)," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Mukhriz ketika mengadakan sesi dialog bersama penyokong PPBM semalam
memaklumkan syor gabungan yang baru itu akan disuarakan kepada
ketua-ketua parti dalam waktu terdekat.
Ia bagi memastikan wujud pertandingan satu lawan satu, sekaligus mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi.
Pada waktu ini belum ada nama muktamad yang dicadangkan bagi
pembentukan gabungan tersebut, melainkan Barisan Rakyat yang dicadangkan
oleh beberapa pihak di dalam media sosial.
Sementara itu ditanya apa yang akan terjadi terhadap Pakatan Harapan
(PH) sekiranya gabungan baru itu wujud, Johari menjelaskan kerjasama
antara PKR-DAP-Amanah itu akan tetap diteruskan sehinggalah satu
ketetapan yang lain diputuskan.
"PH telah diwujudkan secara rasmi, secara konsensus. Bermakna menerusi
tiga parti bergabung. PH juga bersetuju untuk meneruskan usaha-usaha
berjumpa parti-parti lain.
"Jika konsensus juga bersetuju untuk menukar PH kepada pakatan lain,
atau membesarkan PH dengan menerima anggota baru, itu terpulang kepada
pimpinan. Namun ia tidak menghalang untuk kita berjumpa ahli baru," kata
Ahli Parlimen Sungai Petani itu.
Gabungan baru itu juga mungkin akan disertai PAS.
Mukhriz juga membayangkan hasil perbincangan positif dicapai menerusi
perjumpaan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan