Khamis, 8 September 2016

Kawasan perumahan mangsa Zika bermasalah denggi

SINAR HARIAN
virus zika
Gambar hiasan


JOHOR BAHRU - Kawasan perumahan didiami seorang wanita mengandung berusia 27 tahun yang disahkan dijangkiti virus Zika, dikenal pasti sebagai kawasan bermasalah wabak denggi kerana semburan pengabutan sering dilakukan di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, pesakit terbabit menyatakan beliau tidak pernah berkunjung ke negara-negara terjejas dengan virus Zika, dan mendakwa kali terakhir melawat Singapura adalah enam bulan lepas.

"Bagaimanapun, beliau memberitahu doktor bahawa kawasan perumahannya adalah kawasan bermasalah denggi kerana semburan pengabutan kerap dilakukan di sana," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan makluman daripada pihak hospital semalam, Ayub berkata aktiviti kawalan vektor di Taman Desa Harmoni serta tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit terbabit, telahpun bermula.

"Selepas menerima pemberitahuan daripada pihak hospital, tinjauan aedes segera dilakukan di kediamannya dan 400 rumah telah diperiksa, dengan Indeks Aedes sebanyak 2.3 peratus. –Bernama


Tiada ulasan: