Isnin, 19 September 2016

Mahathir tidak yakin kemampuan Muhyiddin raih sokongan untuk PPBM - bekas pemimpin PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak yakin dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin meraih sokongan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mendorong pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad 'mendekati' seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Demikian pandangan bekas pemimpin kanan PKR, Lokman Noor Adam terhadap pertemuan Dr Mahathir dan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September lalu ketika bekas ketua pembangkang itu memfailkan saman bagi menghalang penguatkuasaan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
 
"Mahathir manusia penuh ego dan beliau sama sekali tidak akan menghadap Anwar kecuali terdesak. Apa yang berlaku hari ini adalah apbila Mahathir ambil keputusan buang egonya dan menghadap orang yang pernah dituduhnya sebagai peliwat, pengkhianat dengan bekerjasama agen asing. 
 
"Maknanya Mahathir tak yakin lagi dengan Muhyiddin. PPBM gagal tarik sokongan orang Melayu dan mereka yang berada di pihak pembangkang," katanya dalam temubual bersama Antarapos, hari ini.
 
Tambah Lokman lagi, faktor kesudian pertemuan itu juga berdasarkan harapan Mahathir agar PPBM mendapat sokongan penuh Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
Namun bekas Setiausaha Agung Pemuda PKR itu yakin, hubungan baik PPBM dengan pembangkang tidak akan kemana berikutan isu agihan kerusi antara mereka tidak mudah untuk dimuktamadkan.
 
"Saya beranggapan pertemuan antar Mahathir dan Anwar tidak akan membuahkan satu kata (sepakat). Hanya sia-sia. 
 
"Mahathir cuba menggunakan Anwar supaya PH terima PPBM dalam gabungan itu. Tetapi satu perkara yang saya nampak, apa yang cuba diperjuangkan PPBM sama dengan apa yang diperjuangkan Umno," katanya lagi.
 
Mahathir juga menyeru kepada semua parti pembangkang agar bersatu jika ingin melawan Umno Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
 
Ujarnya kegagalan parti pembangkang berbuat demikian menyaksikan mereka tidak berhasil menjatuhkan Umno BN sejak 59 tahun lalu.
 
 

Tiada ulasan: