KUALA KANGSAR: Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu meminta
rakan-rakannya dalam PAS supaya memilih Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai
Ahli Parlimen Kuala Kangsar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan
tersebut kerana mendakwa parti Islam berkenaan tidak mampu menyaingi
Barisan Nasional (BN) secara bersendirian.
Mohamad atau Mat Sabu berkata, berdasarkan pengalamannya selama 37
tahun dalam PAS yang berakhir sebagai timbalan presiden, parti itu sukar
untuk memenangi pilihan raya jika hanya mengharapkan undian daripada
bangsa Melayu sahaja.
Menurutnya, tidak dinafikan PAS mempunyai ramai ahli yang tidak
mengharapkan sebarang imbuhan untuk menghadiri penamaan calon atau
perhimpunan, tetapi untuk menewaskan BN dalam PRK Kuala Kangsar ahlinya
perlu memilih calon PAN.
"Saya bukan pemimpin cokia (tidak terkenal) dalam PAS tetapi saya
begitu aktif sejak 1978 sehingga dipilih menjadi naib dan timbalan
presiden.
"Berdasarkan pengalaman ini selepas menempuh pelbagai PRK dan Pilihan
Raya Umum, saya dapati adik-adik saya dalam PAS perlu memilih calon
Amanah (PAN) jika ingin menewaskan BN.
"Maafkan saya, PAS tidak mampu untuk menang dalam pilihan raya ini"
katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi Sayong Lembah di sini
pada Isnin malam.
Turut hadir ialah Ahmad Termizi; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Sr Ismail Salleh.
Sementara itu, Ahmad Termizi yang turut berucap mengakui beliau merupakan pengundi bagi Parlimen Shah Alam.
"Saya memang pengundi di Parlimen Shah Alam, tetapi saya mengundi di
sana untuk menyokong bekas rakan serumah saya iaitu Ahli Parlimen Shah
Alam ketika ini, Khalid Abdul Samad.
"Saya juga pernah menjadi pengundi Gelang Patah sebelum itu. Tetapi apa
yang penting sekarang ialah saya anak kelahiran Kuala Kangsar.
"Nenek moyang, bapa dan saya sendiri dilahirkan di sini. Cuma bila
melanjutkan pelajaran saya keluar menimba ilmu di luar dan bekerja di
Kuala Lumpur," jelasnya.
Tambahnya, bagaimanapun kini telah tiba masa untuk beliau kembali
berkhidmat kepada orang kampungnya dan membantu mereka sebagai Ahli
Parlimen Kuala Kangsar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan