Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan akan mempertahankan
kerusi Parlimen Pagoh biarpun terpaksa bertanding sebagai calon bebas
di Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) akan datang.
Katanya keputusan berkaitan platform mana yang akan dipilih beliau
masih terlalu awal untuk diputuskan tatkala banyak pihak mahu beliau
menyertai gabungan pembangkang selepas dipecat sebagai ahli Umno.
"Kalau saya bertanding, sudah tentu saya menentang BN itupun kalau saya
nak bertanding. Kalau saya bertanding takkan MCA nak terima saya
(sebagai calon). Saya bukan lagi dalam BN. Kalau nak bertanding takkan
saya nak bertanding atas tiket Umno.
"Keputusan yang kami buat adalah satu keputusan yang besar. Dan tidak
pernah mimpi oleh kami," katanya dalam satu sidang media yang diadakan
di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, lewat petang ini.
Muhyiddin mendakwa akar umbi Umno bahagian Pagoh bertegas untuk beliau meneruskan usaha untuk mempimpin serta mewakili mereka.
"Saya dah jumpa pemimpin Pagoh malam selepas saya dipecat, mereka nak
ketahui apa kedudukan. Saya jelaskan Ahli Parlimen Pagoh (yang kini)
bebas, saya dah nyatakan kepada pemimpin Pagoh yang masih nyatakan
sokongan pada saya, mereka menolak keputusan MT.
"Mereka lebih mengetahui kedudukan saya dan tindakan saya lakukan,"
katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno Pagoh, Hairul
Izam Abd Samat yang menolak pemecatan Muhyiddin semalam.
Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat memutuskan untuk memecat
Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir
serta merta daripada parti itu.
Ia ekoran tindakan kedua-dua mereka yang kerap mempersoalkan pemimpin
tertinggi Umno bersabit isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu
derma RM2.6 bilion, meskipun ia masih dalam siasatan Jawatankuasa
Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).
Kedua-dua mereka juga kerap kali menyertai pembangkang dalam usaha
menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi
Rakyat yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.
"Soal sama ada memasuki parti politik lain, kami sudah tidak ada lagi
platform apabila dipecat dari Umno, kami berdiri atas keadaan politik
tidak ada hubungan mana-mana parti.
"Soalnya sama ada situasi ini lestari dan bersesuaian untuk masa depan
demi melihat masa depan negara lebih baik, dalam situasi memberi
keadilan pada rakyat jelata," jelas Muhyiddin yang ditemani isterinya,
Puan Seri Norainee Abdul Rahman dalam sidang medianya.
Tambah Muhyiddin, keputusan untuk memulakan platform baru politiknya
setelah dipecat dari Umno bersama Mukhriz merupakan satu keputusan yang
besar pernah dibuat beliau selepas tidak lagi bersama Kabinet tahun
lalu.
"Ini keputusan sangat besar dalam sejarah hidup kami, kami mempunyai
hasrat dan niat untuk bantu supaya krisis kepemimpinan harus dapat
diatasi.
"Apakah rakyat mengkehendaki satu perubahan besar, satu pembaharuan
yang boleh menjamin masa depan rakyat lebih baik, menolak rasuah dan
mewujudkan institusi lebih mantap. Buat reformasi, ini isu pokok yang
perlu difikirkan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan