GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju menganjurkan debat
mengenai isu terowong dasar laut pada 28 Jun ini di Dewan Kompleks
Masyarakat Penyayang di sini pada 9 malam.
Debat itu akan diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya,
Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang Lim Hock Seng dan
Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata
kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa debat bertajuk "Tiga Lebuhraya
dan Terowong Bawah Dasar Laut" itu menggunakan bahasa kebangsaan.
"Kami telah mengadakan mesyuarat dan pihak YB Liang telah menghantar
wakil untuk membincangkan mengenai aturcara perdebatan. Dalam sesi debat
itu akan ada ucapan daripada kedua-dua wakil, soal jawab dan ucapan
penggulungan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 11 Jun lepas, Liang menyatakan keinginan untuk berdebat berhubung
isu projek terowong dasar laut selepas Lim menolak tawaran Pemangku
Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo untuk berdebat.
Loo pernah menganjurkan dan menjemput Lim untuk berdebat pada 11 Jun
lepas namun Lim tidak hadir selepas mendakwa semua soalan yang
dikemukakan telah dijawab dan oleh itu tidak perlu untuk berdebat.
Wong berkata peguam Lee Khai akan menjadi moderator pada sesi debat yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.
Beliau berkata pihaknya turut meminta Liang untuk menguruskan supaya debat itu dapat disiarkan secara langsung di televisyen.
"Saya masih belum tahu sama ada siaran langsung dari stesen televisyen boleh dijalankan atau tidak," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin hadir pada debat itu supaya
datang awal kerana dewan itu hanya mampu menampung kapasiti 500 orang
sahaja.
Katanya skrin besar turut disediakan di luar dewan bagi memberi peluang
kepada orang ramai yang tidak dapat tempat di dalam dewan untuk
mengikuti debat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan