Rabu, 17 Februari 2016

Tiga anggota polis ditahan SPRM lindungi sindiket klon kereta

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan dua anggota kerana dipercayai terbabit melindungi sindiket kereta klon. 
 
Ketiga-tiga mereka yang berusia 27 tahun hingga 54 tahun itu, dipercayai menerima suapan sejumlah wang setiap bulan bagi memastikan aktiviti sindiket terbabit tidak diganggu. 
 
SPRM dalam kenyataannya berkata, mereka ditahan di kawasan Temiang, di sini, dalam satu operasi khas SPRM di antara jam 2 petang hingga 2.30 petang semalam. 
 
"Pegawai terbabit bersama dua anggota masing-masing berpangkat koperal dan konstabel itu bertugas di bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri. 
"Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk direman bagi membantu siasatan, pagi esok," kata kenyataan itu lagi. 
 
Katanya, SPRM juga menyita beberapa kereta klon milik sindiket itu dalam operasi susulan petang tadi. 
 
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
 
 

Tiada ulasan: