Google Docs: Seperti yang anda tahu, saya menulis setiap minggu di UtusanBiz. Setiap artikel yang ditulis, saya menggunakan perisian Google Docs atau Google Documents sebagai menggantikan Microsoft Word. Perisian ini bagi saya lebih mudah, ringkas dan yang penting sekali percuma. Kemudiannya artikel-artikel yang telah siap akan dihantar melalui emel ataupun saya cuma perlu kongsikan pautan artikel tersebut sahaja dengan Pengarang UtusanBiz.

WordPress: Ia merupakan satu platform yang amat komprehensif dan terbaik untuk menulis blog. Saya menggunakan WordPress untuk setiap penulisan blog saya. Ia bukan sahaja boleh digunakan di komputer malah di telefon pintar ataupun tablet. Ramai penulis blog di Malaysia dan juga antarabangsa yang menggunakan WordPress ini untuk menerbitkan blog-blog mereka di internet. Ia bukan sahaja mudah dan fleksibel, tetapi percuma juga. Sekiranya saya ingin menggunakan versi yang premium, saya hanya perlu membayar untuk versi tersebut yang harganya tidaklah begitu mahal. WordPress mempunyai ciri yang amat diperlukan seperti pengurusan kandungan, tema yang pelbagai dan mudah dicari di Google. Ini yang membuatkan WordPress begitu berguna bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada 76.5 juta penulis blog yang lain.


Tumblr: Enjin pencarian yang kedua selain Google yang sering digunakan ialah Yahoo!. Untuk memastikan yang penulisan saya akan dijumpai di Yahoo! saya menggunakan platform Tumblr untuk tujuan ini. Mungkin apa yang saya tulis di WordPress akan juga ditulis di Tumblr, dan sebaliknya. Namun terdapat juga penulisan saya di Tumblr yang tidak terdapat di mana-mana penerbitan yang lain.

Facebook: Selain mementingkan pencarian di Internet melalui enjin carian, saya juga menulis di Facebook melalui platform blog yang dikenali sebagai Facebook Notes. Ia seakan-akan WordPress yang mempunyai ciri-ciri yang sama hebat untuk penulisan artikel. Setiap artikel saya yang ditulis di Facebook Notes ini khas untuk yang mengikuti saya di Facebook sahaja, yang mana artikel-artikel di dalamnya tidak dikongsi kepada mana-mana media sosial yang lain.

Google +: Sama seperti Facebook, saya juga menulis di Google +. Ia merupakan media sosial yang dimiliki oleh Google. Penulisan saya di Google + ini juga khas untuk para pengikut saya di sini yang tidak dikongsikan dengan media sosial yang lain.

Twitter: Di sini, penulisan blog tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana ia terhad kepada 140 huruf sahaja. Jadi di sini, saya akan menulis secara ringkas yang dikenali sebagai penulisan blog mikro atau micro-blogging. Di samping penulisan yang ringkas, saya juga banyak berkongsi pautan-pautan artikel yang ditulis di media sosial yang lain di Twitter. Penggunaan Twitter ini saya tidak hanya hadkan kepada penulisan dan perkongsian artikel sahaja. Saya juga menggunakan Twitter ini sebagai alat pengumpulan artikel-artikel untuk dibaca. Dengan ini, saya dapat mengumpul dan membaca artikel-artikel yang baik di Timeline yang saya boleh gunakan untuk penulisan saya yang akan datang.

Flipboard: Saya dapat mengumpul dan menyimpan artikel-artikel untuk dibaca apabila saya ada masa lapang. Banyak artikel yang baik yang saya jumpa ketika menaiki LRT contohnya, yang pada masa itu tidak sesuai untuk dibaca sepenuhnya. Jadi saya akan menyimpannya di Flipboard untuk dibaca ketika di rumah ataupun di pejabat.

*  PENULIS adalah Pakar Pemasaran Digital di facebook.com/azleenabdrahim