Khamis, 11 Februari 2016

Ola Bola kutip RM8 juta dalam masa 13 hari

Ola Bola kutip RM8 juta dalam masa 13 hari
Antara babak dalam Ola Bola. - Foto Astro Shaw
 

FILEM Ola Bola, arahan Chiu Keng Guan yang memasuki hari ke-13 tayangan mencatatkan jumlah kutipan RM8 juta ‘box office’ menerusi 120 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Penerbitnya, Astro Shaw dalam satu kenyataan berkata filem itu telah ‘trending’ sebanyak sembilan kali di laman Twitter.

“Sambutan memberangsangkan untuk minggu kedua tayangan ini didorong oleh reaksi positif para peminat yang telah menontonnya sejak 28 Januari 2016 lalu selain daripada rangka promosi yang masih giat berjalan.

“Filem ini ternyata memberikan impak besar di laman-laman sosial apabila pengguna memperkatakan mengenai filem ini. Secara keseluruhan, OlaBola berjaya mendapat melebihi 200,000 juta pendedahan di media sosial,” kata Astro Shaw dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, jumlah tontonan trailer dari Facebook dan Youtube telah mencatat 1.6 juta tontonan dan dijangka meningkat hari demi hari.

Berlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit daripada kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.

 Kisah yang diilhamkan daripada peristiwa sebenar ini bukan sahaja memaparkan semangat juang dan maruah pasukan bola sepak negara, tetapi juga menyaksikan kepayahan dan kesungguhan barisan pemain mengatasi masalah peribadi dan juga yang berkaitan dengan pasukan.

Filem ini dbintangi barisan pelakon baharu seperti JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar, Marianne Tan serta Haris Mohd Zainuddin.


Tiada ulasan: