SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa empat Adun
daripada parti itu memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Mukhriz
Mahathir sebelum pemimpin itu melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah
pada Februari lalu.
Nurul Izzah berkata, PKR menyokong pimpinan Mukhriz di Kedah kerana tidak ada yang tidak kena dengan pemimpin Umno itu.
"Ya keempat-empat Adun kami berbuat
demikian," katanya ringkas selepas himpunan Bebaskan Anwar di hadapan
penjara Sungai Buloh semalam.
Empat Adun berkenaan ialah Adun Bukit Selambau, R Krishnamoorthy; Adun
Bakar Arang, Ooi Tze Min; Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman
Nasruddin.
Ketika ini 21 kerusi Dun dipegang BN, Pas (8), PKR (4), DAP (2) dan Parti Amanah Negara (1).
Krisis politik di Kedah yang berakhir pada tiga Februari lalu,
memperlihatkan Mukhriz hanya mampu memegang jawatan itu selama tiga
tahun.
Tanda-tanda kedudukan Mukhriz goyang bermula pada 20 Januari lalu
setelah hampir seluruh kepimpinan Umno Kedah, termasuk Adun dan ahli
Parlimen daripada Umno menyatakan secara terbuka bahawa mereka hilang
keyakinan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno
Kedah.
Pendirian itu disuarakan sendiri Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk
Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas mengadakan pertemuan tertutup
dengan hampir kesemua Adun dan ahli Parlimen Umno Kedah.
Kini Ahmad Bashah memegang jawatan menteri besar yang baharu sepelas mengangkat sumpah pada Khamis lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan