Isnin, 1 Februari 2016

Krisis Kedah: Penganalisis jangka pertemuan petang ini tentukan nasib Mukhriz

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pertemuan antara 21 ADUN Barisan Nasional bersama Jemaah Diraja Kedah akan memuktamadkan nama Menteri Besar yang baru, bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani juga tidak menolak pertemuan diantara dua pihak itu juga untuk mendapatkan kesahihan akuan bersumpah yang oleh 19 ADUN parti berkenaan untuk menyatakan hilang sokongan terhadap Mukhriz.
 
"Jemaah Pemangku Sultan juga mahu mendapatkan pandangan ADUN dari hati ke hati, lebih terbuka dan jelas apa yang mereka mahukan. Sebab ada sebahagian ADUN mendakwa dipaksa (tandatangan akuan bersumpah). 
 
"(Tetapi) Apabila sudah ada akuan bersumpah, agak sukar untuk mengekalkan Mukhriz. Sebab apabila ada penolakan terhadap beliau, atau berkemungkinan Jemaah Pemangku Sultan melihat keadaan yang berlainan. Kita tidak tahu pemikiran pihak istana.
 
"Namun jika akaun bersumpah itu diterima, maka esok (petang ini) berkemungkinan lebih kepada perjumpaan siapakah paling sesuai dan mendapat sokongan terbanyak untuk menjadi ," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Azizuddin juga menggesa kemelut jawatan nombor satu negeri itu segera diselesaikan sebelum ia membawa kesan yang tidak baik terhadap rakyat dan pentadbiran negeri.
 
"Seseorang yang bakal menggantikan Mukhriz perlu seseorang yang berkaliber, dihormati dan diterima oleh rakyat dan Umno Kedah, termasuk pihak Mukhriz dan juga Umno Pusat. Malah pihak istana juga perlu boleh terima (MB baru)," katanya lagi.
 
Perkembangan terbaru berkenaan krisis Menteri Besar Kedah menyaksikan kesemua 21 ADUN BN Kedah dipanggil oleh Jemaah Diraja negeri itu pada petang ini di Wisma Darul Aman.
 
Bukan itu sahaja pihak istana juga dijangka akan mengumumkan nama baru baru menggantikan Mukhriz.
 
Pada 20 Januari lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media dengan menyatakan pimpinan negeri hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dimaklumkan sudah mengadap Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang dipercayai membincangkan isu pengganti Mukhriz namun hingga ke hari ini belum ada lagi nama baru diumumkan.
 
 

Tiada ulasan: