ALOR SETAR: Selepas mengadakan pertemuan dengan Jemaah Diraja Kedah
semalam, ADUN Barisan Nasional (BN) pada tengah hari ini mengadakan
pertemuan tertutup di Hotel Grand Alora, di sini.
Tidak dapat dipastikan bilangan ADUN yang hadir pada pertemuan itu,
yang dipercayai bagi membincangkan perkembangan isu kemelut Menteri
Besar Kedah selepas pertemuan mereka dengan jemaah Diraja semalam.
Pihak media juga sudah memenuhi lobi hotel bagi mendapatkan
perkembangan terbaru selepas gagal mendapatkan maklum balas hasil
pertemuan itu semalam.
Dalam pada masa yang sama, jemaah Diraja memanggil ADUN pembangkang untuk mengadap di Wisma Darul Aman, jam 2.30 petang ini.
Mereka akan mengadap tiga ahli jemaah berkenaan, yang terdiri daripada
Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum
Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid
Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah
Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
Selepas pertemuan dengan ADUN pembangkang itu, istana Kedah dijangka
akan mengumumkan nama baru untuk menggantikan tempat Datuk Seri Mukhriz
Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah selepas hilang sokongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan