Perkhidmatan teksi bermeter dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan sebaliknya dijangka menjadi
pilihan orang ramai berikutan kenaikan tambang Express Rail Link Sdn Bhd
(ERL) berkuat kuasa 1 Januari depan.
Penasihat
syarikat Teksi Premium Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata ini
kerana pengguna yang datang secara berkumpulan akan menikmati tambang
lebih berpatutan berbanding tambang baharu ERL.
"Sekiranya empat orang pengguna mereka hanya perlu
membayar tambang purata RM130 untuk teksi biru dan RM60 untuk teksi
merah bagi perjalanan sehala berbanding menaiki ERL dengan kadar yang
lebih mahal iaitu RM220.
"Pada masa sama ia juga dijangka dapat meningkatkan
jumlah pendapatan pemandu teksi terutamanya di sekitar Kuala Lumpur
dengan pertambahan jumlah trip perkhidmatan itu kelak," katanya pada
sidang media di sini, hari ini.
Pada 1 Disember lalu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah
Mohd Noor mengumumkan kadar tambang baharu ERL bagi perjalanan sehala
dari KL Sentral ke KLIA dan KLIA2 daripada RM35 kepada RM55 mulai 1 Jan
2016.
Penstrukturan tambang baharu itu adalah kali pertama sejak ERL beroperasi pada 2002.
Promosi besar-besaran tahun depan
Shamsubahrin berkata, ketika ini jumlah perjalanan atau
trip teksi bermeter dari Kuala Lumpur ke KLIA atau klia2 kira-kira 40
sehari dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda pada tahun depan.
"Dulu, kadar tambang ERL RM35 menjadi saingan kepada
industri perkhidmatan teksi namun kini (pada tahun depan) pemandu teksi
perlu menganggap saingan itu telah tidak ada.
"Orang ramai termasuk pelancong pula tidak perlu merungut
kata mahal ...sebenarnya ada alternatif lain iaitu menggunakan
perkhidmatan teksi ... kami akan adakan promosi secara besar-besaran
pada awal tahun depan," katanya.
Dalam pada itu, Shamsubahrin berkata pihaknya bercadang
mengemukakan saman sebelum akhir tahun ini ke atas perkhidmatan teksi
Uber dan GrabCar yang dikatakan memasuki kawasan larangan operasi dan
didakwa menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan di kawasan syarikat
itu.
"Misalnya di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), hanya teksi yang
berdaftar dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang tetapi
Uber dan GrabCar bertindak sebaliknya.
"Ini bercanggah dengan perjanjian antara syarikat kami
dengan pengurusan KLCC ... mereka(Uber dan GrabCar) tidak mempunyai
permit untuk berbuat demikian," katanya.
Terdapat lebih 800 pemandu teksi berdaftar di bawah syarikat Teksi Premium Big Blue.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan