Sabtu, 26 Disember 2015

Rakit terbalik, bayi 10 bulan antara korban

Rakit terbalik, bayi 10 bulan antara korban
Usaha mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari mangsa yang masih hilang.


JOHOR BAHRU – Malang buat sebuah keluarga apabila rakit yang dinaiki bersama 10 ahli keluarga lain terbalik ketika menyeberang Sungai Bekok, Jalan Yong Peng Chaah, Batu Pahat kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Akibat insiden itu, seorang bayi lelaki 10 bulan antara yang ditemui mati lemas bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki berumur dua tahun, manakala dua lagi wanita berumur 55 tahun bersama kanak-kanak lelaki sembilan tahun turut dikhuatiri lemas.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad berkata, tiga anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang.

Menurutnya, 10 ahli keluarga berkenaan difahamkan ingin menyeberang sungai berkenaan untuk melihat ternakan kambing di seberang sungai dengan menaiki rakit.

“Rakit yang dinaiki dikatakan terbalik ketika berada di tengah sungai kerana tidak mampu menampung muatan yang berlebihan.

“Enam ahli keluarga yang berumur antara dua tahun hingga 58 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi ditemui mati lemas dan dua lagi juga dikhuatiri lemas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.

Ibnul Kasim berkata, operasi menyelamat dan mencari dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan sehingga jam 5 petang.

“Seorang bayi dan kanak-kanak cuba diselamatkan ahli keluarga lain, namun sebaik dibawa ke tebing sungai mereka sudah meninggal dunia.

“Usaha mencari dua lagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan,” katanya.


Tiada ulasan: