Selasa, 8 Disember 2015

Pusat ICT 'MARA Digital' akan dibangunkan di seluruh negara

ANTARAPOS.CCOM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhasrat membangunkan pusat perniagaan ICT ala 'MARA Digital' yang dilancarkan hari ini, di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata rancangan pembangunan pusat perniagaan ICT itu sudah dikenal pasti dan ia akan ditempatkan di bangunan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) seperti Arked MARA.

"Arked MARA ada di bandar-bandar kecil dan dalam program transformasi luar bandar yang saya diumumkan sebelum ini, salah satu pembangunan yang akan dilaksanakan adalah penubuhan tekno hab.

"Ia bertujuan menarik minat golongan belia di luar bandar yang ingin menjalankan perniagaan ICT di tempat mereka sendiri," katanya pada sidang media di Pusat ICT MARA, Menara MARA di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan pusat ICT MARA yang dikenali sebagai 'MARA Digital' yang menjadi pemangkin kepada aktiviti perniagaan ICT khusus bagi usahawan Bumiputera.

Beliau berkata, pembukaan MARA Digital itu bukan bertujuan untuk berlawan dengan sesiapa atau dengan pusat jualan ICT sedia ada.

"Pembukaan pusat ICT di sini membolehkan persaingan secara sihat dan kami memberi peluang kepada golongan belia menceburi dunia perniagaan sekali gus sebagai penanda aras baharu ke arah pembabitan usahawan Bumiputera dalam industri ICT," katanya.

Penubuhan Pusat ICT MARA itu berperanan sebagai hab perniagaan ICT dengan menawarkan semua barangan dan perkhidmatan digital bagi keperluan pengguna.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MARA dan Celcom Axiata Berhad yang bertujuan menyumbang kepada kerjasama dalam menyokong pembabitan Bumiputera dalam produk telekomunikasi di negara ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa.

Tiada ulasan: