Selasa, 8 Disember 2015

Kerjasama PAS-Umno ibarat mimpi disiang hari - Iskandar

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menyifatkan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa parti itu mula menunjukkan petanda positif ke arah permuafakatan dengan Umno adalah satu yang tidak benar.
 
Malah Naib Presidennya Datuk Iskandar Samad menyifatkan kenyataan perdana menteri itu 'hanyalah mimpi di siang hari'.
 
"Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa PAS bersedia untuk kerjasama dengan Umno adalah satu mimpi di siang hari. Beberapa perkembangan yang disebut beliau bukan satu petunjuk kepada sikap PAS yang sebenar", katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Najib semalam memberitahu bahawa PAS telah menunjukkan tanda-tanda menggalakkan kearah permuafakatan dengan Umno.
 
Jelasnya lagi, PAS telah memberikan isyarat tertentu bahawa parti itu sudah menerima apa yang dilakukan oleh Umno dalam menerajui kepimpinan negara.
 
Sebaliknya beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor itu menganggap tindakan Najib itu mahu menutup pergolakkan yang sedang melanda Umno.
 
"Datuk Seri Najib patut sedar dari mimpi tersebut dan menyelesaikan masalah dalaman Umno terlebih dahulu. Jangan digunakan PAS sebagai satu "smokscreen" untuk menutup masalah Umno. 
 
"Seluruh dunia telah mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Timbalan Presiden Umno, malam tadi. 
 
Ternyata Umno berhadapan dengan satu krisis dalaman yang serius seperti tahun 1998 dan tahun 1988", katanya yang merujuk kepada kemelut Umno yang timbul baru-baru ini ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kabinet.
 
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini lantang mengkritik Najib mengenai isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
 
Menurut Najib, PAS memberikan tindakan positif terhadap agenda kerajaan antaranya tidak menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat pada 16 November dan juga berkecuali dalam perbentangan Bajet 2016 yang dibentang olehnya.
 
Dalam temubual itu, Najib turut percaya bahawa PAS berpegang kepada prinsip Islam yang mengharamkan tindakan menjatuhkan sesebuah kerajaan dengan cara yang tidak diizinkan Islam.
 
Ini diikuti dengan beberapa kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat berpihak kepada Umno antaranya tidak mempersoalkan rombakan Kabinet pada Julai lepas dan turut menyokong Najib supaya tidak tunduk kepada tekanan untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
 
 

Tiada ulasan: