Selasa, 1 Disember 2015

PAU 2015 PALING MEMBOSANKAN - PERASMIAN NAJIB, PENUTUP PUN HANYA NAJIB

shahbudindotcom

 

 
 
 
Blog ini pada 25 November lalu ada menulis mengenai Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin, sekiranya tidak dipecat atau digantung keahliannya, kemungkinan besar akan turut dihalang daripada berucap pada majlis penutup Perhimpunan Agung UMNO pada 8 hingga 12 Disember ini.

Kebarangkalian itu dilontarkan berikutan keputusan MT UMNO pada 24 November yang memutuskan Muhyiddin tidak merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri adalah semata-mata kerana Najib tidak mahu memberi ruang sama sekali kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyampaikan sebarang ucapannya.

Dengan melarang berucap merasmikan perhimpunan sayap-sayap, Najib dipercayai akan terus menutup semua peluang yang boleh memperlihatkan Muhyiddin mampu menonjolkan dirinya.

Ini adalah tradisi yang pertama kali dilanggari oleh UMNO dan ia hanya berlaku di bawah kepimpinan Najib Razak yang sering mendakwa beliau merupakan Pahlawan Bugis yang tidak takut berdepan apa juga cabaran, waima sehingga bumi berkeling dua sekali pun.

Dan kini Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mula membayangkan ketidakperluan Muhyiddin berucap di majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dengan alasan tiada peruntukan dalam perlembagaan parti seorang timbalan presiden harus berbuat demikian seperti kelazimannya.

Bagi saya Presiden UMNO seorang saja berucap sudah memadai, bagaimanapun terpulanglah kepada Najib dan MT memutuskannya, ujar Ku Nan semalam.

Tidak diraguikan lagi bahawa oleh kerana Ku Nan adalah "mulut kanan" kepada Presiden UMNO dalam hal-hal berkaitan perjalanan parti, tujuan dan kecenderungan beliau tidak lain ialah untuk membiarkan hanya Najib seorang saja yang berucap dalam perhimpunan kali ini.
 
 
 
 
Jika ini berlaku, bermakna sekali lagi tradisi UMNO, bukan saja dilanggari, tetapi juga telah dihancurkan semata-mata untuk melindungi seorang individu.

Kiranya hanya Presiden UMNO saja yang berucap saja dalam majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, ia bukan saja menjadi acara perhimpunan tahunan parti yang paling membosankan kerana asyik-asyik Najib saja yang bercakap, bahkan semakin benarlah tanggapan Tun Mahathir Mohamad bahawa UMNO kini sudah menjadi parti Najib.

Di majlis perasmian Najib berucap, di sepanjang perbahasan puji-pujian serta sanjungan terhadap Najib akan sentiasa berkumandang dan acara penutup juga sekali lagi hanya Najib yang berucap. 

Semuanya dilakukan hanya kerana ingin melindungi serta untuk kepentingan Najib sahaja dan bukan untuk kebaikan parti.

Akhirnya, bukan saja Muhyiddin yang mahu dlarangnya berucap, bahkan semua pemimpin lain seolah-olah turut sama dilarang menonjolkan dirinya. Tentu saja yang paling kecewa dalam hal ini ialah Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana beliau juga tidak dapat menonjolkan diri, keupayaan dan ketrampilannya bersama jawatan barunya itu.

Tidakkah ini menunjukkan UMNO semakin sah menjadi - United Mohd Najib Organisation atau Untuk Mohd Najib Only? 


Tiada ulasan: