Selasa, 1 Disember 2015

Pakaian wanita: Siapa yang pandang?

FREE MALAYSIA TODAY
 
 
Kritikan dan pendapat yang berterusan terhadap fesyen wanita ini seolah-olah memperlihatkan kejatuhan maruah wanita adalah semata-mata salah wanita itu sendiri.
 
 
 
jubah

Oleh Wan Salman Wan Sallam


Di mana-mana sahaja kita berada, pakaian wanita ini pasti boleh menjadi topik panjang baik dari sudut fesyen mahupun kritikan mengenainya.

Kisahnya jadi lebih menarik kini dengan lebih ramai muslimah memilih untuk bertudung. Maka, fesyen pakaian wanita yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti terus memecut pula dengan fesyen-fesyen terkini agar muslimah juga mampu terus dipandang `segar’ dan `mengikut trend’ wanita moden dekad ini.

Sungguhpun begitu, memakai tudung atau berkeputusan menutup aurat sepenuhnya mengikut syarak datang dengan “pakejnya” yang tersendiri, sama ada dari segi kritikan dan penghakiman berterusan orang-orang lain mahupun dari segi semangat sebenar penutupan aurat itu sendiri.

Umum mengetahui, fatwa syarak yang popular berkenaan penutupan aurat wanita ialah penutupan keseluruhan bahagian anggota tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan sahaja. Sungguhpun begitu, penutupan aurat ini, pada pandangan sivil dan `undang-undang’ seharusnya penutupan aurat ini menjadi pilihan peribadi muslimah dan wanita-wanita lain juga akhirnya.

Selain itu, penutupan aurat ini tidak semata-mata hanya pada penutupan itu secara harfiahnya. Penutupan aurat ini hadir bersama tanggungjawab memelihara maruah diri serta menjaga kesederhanaan dalam amal-amal dan kerja-kerja (muamalat) seharian seorang muslimah itu.

Contohnya, dalam satu video BuzzFeed 4 (Women Wore Hijabs For A Day To See What Life’s Like For Some Muslim Women) yang mengetengahkan 4 wanita bukan Islam untuk memakai tudung selama sehari di sekitar Hollywood di Los Angeles, salah seorang daripada mereka berasa bahawa apabila mula memakai tudung, dia serta-merta berasa perlunya bersederhana dalam perwatakannya di samping berasa nilai intelek mereka diangkat; mereka mula memandang diri mereka sendiri mempunyai lebih “pilihan” untuk apa yang mereka ingin lakukan tanpa perlu menjadi objek seks dan mainan lelaki semata-mata.

Oleh sebab itulah secara peribadinya, saya menyokong kenyataan dan panduan yang berimbang daripada Dr. Zaharudin Abd Rahman berkenaan garis panduan muslimah yang ingin berfesyen.

Hakikatnya seseorang wanita itu sepatutnya dinilai daripada nilai dirinya sendiri dan keilmuannya, bukannya semata-mata apa yang mereka pilih untuk disarung pada diri mereka (tanpa menafikan kepentingan kekemasan dalam berpakaian).

Sungguhpun begitu, kritikan dan pendapat yang berterusan terhadap fesyen wanita ini seolah-olah memperlihatkan kejatuhan maruah wanita adalah semata-mata salah wanita itu sendiri. Keadaan ini dilihat lebih tidak adil apabila kebanyakan yang mengkritik itu pula ialah pihak Adam yang syarat penutupan auratnya jauh lebih mudah.

Siapa dapat nafikan betapa mudahnya lelaki untuk menutup aurat, terutamanya dalam fesyen terkini, rehlah di pantai atau sungai, dan dalam bidang sukan?

Sementara itu, wanita yang sentiasa berusaha pula sentiasa dikritik tanpa mempertimbang kesusahan yang mereka perlu alami dalam menutup aurat di samping boleh mengekalkan persepsi awam terhadap imej diri dan keyakinan mereka.

Hakikatnya, dalam al-Quran sendiri, Allah telah memberi panduan tentang tanggungjawab lelaki beriman dalam hal ini (Al-Nur:30):

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat 31 dalam surah yang sama merupakan panduan yang lebih panjang dan lebar pula untuk wanita beriman. Namun seorang lelaki yang beriman sepatutnya melihat lebih daripada sekadar kurangnya tanggungjawab mereka dalam penjagaan aurat dan penjagaan penglihatan.

Sebaliknya, lelaki beriman seharusnya menghayati ayat ini dengan lebih mendalam dengan menyedari bahawa apabila ayat ini hanya menerangkan tentang kepentingan lelaki menjaga pandangan dan hanya sedikit tentang menutup aurat bermakna secara fitrahnya, lelaki memang mudah sahaja untuk menjaga aurat. Masalah yang lebih besar buat kaum Adam ini hakikatnya menjaga pandangan mereka sendiri.

Benar, kaum muslimah mempunyai tanggungjawab yang lebih sukar dan berat untuk menjaga aurat mereka. Maka seharusnya, menghayati semangat ayat ini, lelaki tidak boleh dengan semena-mena menyalahkan cara wanita berpakaian apabila mereka menjadi mangsa gangguan seksual.

Suatu kebenaran yang pahit ialah trend fesyen yang menjadikan wanita hari ini sebagai objek boleh dilihat menjadi sebegitu rupa kerana secara fitrahnya lelaki suka melihat wanita itu sendiri. Maka akhirnya apabila wanita ingin mengikut trend, mereka juga akhirnya tanpa sedar terperangkap dalam perang psikologi ini walaupun mereka tidak berniat langsung untuk mencuri pandangan lelaki.

Dalam kata lain, “tuntutan” pandangan lelaki inilah yang menghasilkan apa yang terjadi pada fesyen dan kecenderungan menjadikan wanita sebagai objek hari ini.

Tambahan lagi, menghayati ayat ini juga, lelaki beriman, pada peringkat individu tidak sepatutnya bersoal banyak dan cepat menghukum mengapa seseorang itu berpakaian sebegini atau sebegitu rupa. Sebaliknya, lelaki juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka pandang memandangkan adanya suruhan langsung dari Allah agar lelaki menjaga juga kehormatan kaum berlainannya di samping perlunya menjaga nafsu mereka sendiri.

Memang benar, wanita ada yang memakai pakaian yang menarik perhatian malah mungkin mencolok mata.
Namun akhirnya, lelaki itu sendiri yang punya pilihan sama ada mahu mengganggu mereka atau membiarkan mereka; mahu merogol mereka atau menyelamatkan mereka.

Kesimpulannya, penjagaan kehormatan dan maruah individu dan gender bukan hanya terletak pada satu-satu gender sahaja. Masing-masing perlu menjaga imej diri dan profesionalisme dan masing-masing perlu menjaga pandangan dan memastikan nafsu sendiri berada dalam kawalan.

Hakikatnya, wanita punya pilihan untuk memakai berlebih-lebihan atau memakai secara sederhana manakala lelaki juga punya pilihan sama ada mahu memandang wanita sebagai objek seks mereka atau menghormati mereka sebagai manusia yang sama darjat dengan mereka di sisi Allah.

Akhirnya, perhitungan kita nanti berlaku pada peringkat individu jua. Kita tidak boleh beralasan menyalahkan apa yang wanita itu pakai atau apa yang lelaki itu mahu pandang. Anda juga bertanggungjawab terhadap tindakan dan kesan terhadap tindakan anda, di dunia mahupun akhirat.

*Wan Salman Wan Sallam ialah ahli Sekretariat Politik IKRAM Siswa Nasional

Tiada ulasan: