Jumaat, 4 Disember 2015

Mesyuarat MT 9 Dis putuskan sama ada Muhyiddin jadi 'tunggul'

MALAYSIAKINI


 


Keputusan sama ada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat ucapan penggulungan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas pada 9 Disember ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun sekali lagi menegaskan ucapan penggulungan pada hari akhir perhimpunan agung Umno memadai hanya oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pada pandangan saya, ucapan penggulungan cukuplah oleh presiden parti sahaja.

"Apa pun, sebarang keputusan akan dibuat dalam mesyuarat MT khas yang diadakan pada malam selepas selesai persidangan peringkat sayap," katanya dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mengulas mengenai tahap keselamatan, Tengku Adnan berkata beliau yakin tiada insiden buruk akan berlaku sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu.

Beliau yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata anggota Umno telah matang selari dengan usia parti itu yang akan menjangkau 70 tahun pada tahun depan.

Katanya pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan polis dan pihak keselamatan PWTC bagi memastikan kelancaran perhimpunan itu.

Tengku Adnan turut menasihatkan para pembahas supaya menjaga keharmonian dengan tidak menyakiti anggota Umno dan kaum lain.

"Kita kena berpegang kepada konsep bersama Barisan Nasional (BN), jangan keluarkan perkataan yang menyakiti kalangan ahli Umno sendiri dan juga masyarakat umum," katanya.

Katanya berdasarkan saringan usul di peringkat bahagian, 90 peratus menyuarakan permasalahan dalam bidang ekonomi, agama dan pendidikan.

Perhimpunan agung Umno yang bermula 8 hingga 12 Disember ini akan disertai 5,738 perwakilan yang terdiri daripada 2,762 perwakilan perhimpunan agung, 993 persidangan pergerakan wanita, 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri).

Pelbagai program sampingan turut diadakan sepanjang perhimpunan itu termasuk Simposium Keusahawanan, pertandingan pidato piala presiden dan pelancaran logo sukan Umno.

Perhimpunan agung Umno kali ini turut menyaksikan majlis taklimat presiden diadakan pada sebelah malam, 8 Disember dan bukannya pada petang seperti kebiasaannya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menegaskan pihaknya telah menghantar surat kepada bekas Ketua Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman berhubung pemecatannya daripada parti.- Bernama


Tiada ulasan: