Isnin, 14 Disember 2015

Lebih 10 rumah di Permatang Pauh rosak akibat ribut

MALAYSIAKINI


 


Lebih 10 buah rumah di kawasan Permatang Tok Kandu, Permatang Pauh di Bukit Mertajam mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut semalam.

Ribut dan puting beliung yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu telah menyebabkan sebahagian bumbung dan dinding rumah penduduk di situ diterbangkan angin kuat.

Seorang pekerja kilang, Amir Jamaludin, 36, berkata semasa kejadian, beliau berada dalam rumah bersama isteri dan dua anaknya sebelum tiba-tiba terdengar bunyi deruman angin di bahagian luar rumahnya.

"Tidak sampai dua minit terdengar sekali lagi bunyi angin kuat dan saya nampak bumbung rumah mula tercabut. Kami terus keluar untuk menyelamatkan diri," katanya.

Katanya angin kuat dan hujan kira-kira 10 minit itu turut menyebabkan beberapa rumah jirannya turut rosak serta sebahagian bumbung sebuah bengkel kenderaan yang terletak berhampiran kawasan perkuburan bersebelahan masjid di sini turut diterbangkan angin.

Seorang lagi mangsa ribut yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat, 60-an, berkata bumbung di bahagian dapur rumahnya turut dibawa ribut dan sebahagian dinding kayu di rumahnya juga rosak akibat angin kuat itu.

"Masa ribut itu, saya baru balik dari pasar raya dengan isteri, waktu itu hujan dan kami nampak angin kuat serta saya nampak ia berpusing macam puting beliung.

"Kami terus tunggu dalam kereta kerana takut hendak keluar... nasib baik ketika kejadian tiada sesiapa di rumah," katanya.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ribut itu dan setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Tanah runtuh

Sementara itu dapur lima buah rumah di Kampung Baru Pekan Salak, di Sepang ditimbus tanah berikutan kejadian tanah runtuh.

Dalam kejadian itu, bahagian dapur kelima-lima buah rumah teres setingkat itu ditimbus tanah setinggi satu meter manakala seorang daripada penghuni mengalami cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Yahya Md Sham berkata kejadian tanah runtuh berlaku berikutan pergerakan tanah di lereng bukit yang terletak berhampiran kawasan rumah, akibat hujan lebat kelmarin.

"Semua selamat kecuali seorang penghuni mengalami cedera ringan. Bangunan (rumah) masih kukuh, hanya dapur ditimbus tanah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Yahya berkata Bomba akan terus membuat pemantauan di tempat kejadian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, khususnya hujan masih turun di kawasan tersebut.

"Berdasarkan pemantauan kami, setakat ini keadaan terkawal," katanya sambil menambah Majlis Perbandaran Sepang akan membersihkan tanah di tempat kejadian.

Yahya berkata sebaik menerima panggilan, pihaknya mengerahkan 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penghuni yang mahu dikenali sebagai Peng, 38, yang mengalami beberapa luka kecil berkata beliau sedang tidur di bilik yang terletak di bahagian paling belakang dalam rumah dan terjaga selepas serpihan siling terkena pada muka dan badannya.

"Saya terkejut apabila melihat keadaan bilik saya berselerak dengan serpihan batu dan kayu. Saya terus berlari ke ruang tamu," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: