KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyokong
cadangan kerjasama antara Umno dan PAS seperti mana yang disebut Datuk
Seri Mohd Najib Razak semalam.
"Saya fikir ia satu tawaran yang baik," ujarnya ketika ditemui
pemberita pada Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU2015) sebentar tadi.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, cadangan kerjasama
itu bergantung kepada akar umbi kedua-dua parti berkenaan.
"Tapi ia bergantung sama ada akar umbi kedua-dua parti daripada kedua-dua peringkat akan menyokongnya," ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tawaran Presiden Umno, Datuk
Seri Najib Razak semalam yang menghulurkan tali silaturahim kepada PAS
untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat
Islam sebenarnya.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan dasarnya
semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) semalam.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan
segeranya malam tadi menerima pelawaan itu tetapi secara bersyarat.
Jelasnya kerjasama itu boleh terjalin sekiranya parti Melayu itu kembali kepada Islam.
Ujar Ahli Parlimen Marang ini lagi, sekarang juga merupakan masa yang
sesuai bagi Umno untuk kembali kepada Islam dalam setiap aspek
perjuangannya.
Namun kenyataan Hadi itu bercanggah dengan Timbalan Mursyidul Amnya,
Datuk Ahmad Yakob berkata, hubungan kerjasama itu akan dibincangkan dan
diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, kerjasama antara parti ini adalah
perkara besar serta membabitkan dua dasar parti yang berlainan dan perlu
juga dibawa ke muktamar PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan