KUALA LUMPUR: Bukan PAS, sebaliknya DAP adalah musuh sebenar Umno pada
ketika ini, demikian yang ditegaskan oleh Perwakilan Umno Terengganu
semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden Umno, pagi tadi.
Datuk Din Adam berkata, Umno negeri itu menyambut baik usaha kerjasama
antara parti itu dan PAS yang nyata memperjuangkan kaum Melayu dan agama
Islam.
"Jangan pandang PAS sebagai musuh utama kita. Kita kena lihat musuh utama adalah DAP.
"Sebab PAS adalah orang seagama dan sebangsa. Tidak mustahil kalau
sistem baik kita laksanakan di peringkat akar umbi. InsyaAllah di
Terengganu orang yang sokong PAS itu akan kembali sokong Barisan
Nasional dalam pilihan raya akan datang," katanya sambil disambut
sorakan perwakilan di Dewan Merdeka, pagi tadi.
Din membahaskan Ucapan Dasar Presiden Umno sempena Persidangan Agung Umno kali ke-69.
Presiden, Datuk Seri Najib Razak pada semalam memberitahu Umno bersedia
menghulurkan tali silaturrahim dengan PAS untuk bekerjasama dalam
isu-isu membabitkan hal kepentingan Melayu dan Islam.
Malah Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyokong
perkara tersebut dan mahu ia digerakkan secara berhemah dan berterusan.
Meneruskan lagi ucapannya, Din berpendapat tidak sukar untuk Umno menembusi sokongan rakyat Terengganu.
"Rata-rata kawasan yang kita menang di Terengganu adalah kawasan
pedalaman, walaupun di bandar tidak banyak yang kita menang. Dengan itu
kita memerlukan usaha yang lebih untuk menggerakkan tujuan ini,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan