Ahad, 20 Disember 2015

Kisah sedih di sebalik 'nasi berulam tempe'

SINAR HARIAN


Kisah sedih di sebalik 'nasi berulam tempe'
Gambar hiasan
 

PENGALAMAN terpaksa bergantung hidup hanya berbekalkan nasi putih berulam tempe sepanjang 10 bulan di Indonesia, menjadi peringatan seumur hidup buat seorang nelayan laut dalam di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Bukan itu sahaja, malah saya terpaksa tinggal di dalam bilik yang kecil hanya seluas 10 kaki persegi dan dikongsi pula dengan 30 orang tahanan lain.   

"Kami hanya tidur beralaskan papan dan beg pakaian yang kami ada," kata Abdul Rahim Buyong, 52.

Beliau yang kerap kali kelihatan termenung ketika ditemubual Bernama berkata, beliau tidak menyangka tindakan cuainya bersama tiga lagi rakannya kira-kira 10 tahun lepas mengundang masalah besar kepada dirinya dan juga keluarga.

"Pada waktu itu, kami sedang menarik bubu menaiki bot enjin dalam di tengah lautan kira-kira 6.8 batu nautika dari persisiran laut Port Dickson yang hampir melepasi sempadan negara.

"Tapi sebab tidak perasan had sempadan perairan kami tak sedar yang rupanya kami telah berada di kawasan Indonesia, tapi itulah, menyesal pun tak guna," katanya.

Pada November 2005, Abdul Rahim dan tiga lagi rakannya dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Dumai, oleh mahkamah Indonesia kerana kesalahan terbabit. 

Menjadi nelayan dilewat umur 20-an, bapa kepada empat orang cahaya mata ini turut menyesal kerana sepanjang penahanannya di Dumai, beliau tidak dapat melihat anak bongsunya yang pada ketika itu baru berusia sebulan, membesar.

"Memang ini dugaan besar saya, isteri saya pula tengah berpantang, saya berharap nelayan-nelayan lain ambil berat soal sempadan laut selepas ini, dan tidak ulang kesilapan kami dahulu," katanya.

Keadaan sama, menurutnya menimpa empat lagi rakannya pada 9 Sept lepas, apabila gagal meneliti had sempadan perairan.

"Walaupun mereka menggunakan alat Global Positioning System (GPS) bagi mengelakkan tersesat di tengah lautan, namun mereka masih termasuk ke perairan sempadan pada musim jerebu yang teruk tempoh hari," katanya.

Mereka yang ditahan ialah Rozali Abd Rahim, 49, Jeffry Mohamad, 49, Nor Azman Mohamad, 41, dan Mohd Sofian Alias, 30.

Penahanan mereka mendapat liputan berita meluas di Indonesia berikutan ia kes pertama nelayan di Port Dickson ditahan oleh negara itu selepas kes Abdul Rahim.

Isteri Mohd Sofian, Marliana Mohd Said, 25, ketika ditemui Bernama berkata sepanjang penahanan suaminya, beliau terpaksa berniaga menjual air minuman di gerai Benteng Malam berhampiran pangkalan nelayan pada setiap petang hingga larut malam bagi menyara dua anak mereka.

Katanya, selepas suaminya ditahan, beliau menerima bantuan sebanyak RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan seharian.

"Saya terpaksa memberitahu anak-anak yang masih kecil bahawa bapa mereka pergi bekerja dan akan pulang tidak lama lagi setiap kali mereka bertanya tentang bapa mereka.

"Mereka sangat rindu akan bapa mereka," kata Marliana dengan nada sebak.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan Abu Bakar Dawam, empat nelayan terbabit telah dijatuhkan hukuman di mahkamah Indonesia dan akan dibenarkan pulang pada awal Februari nanti.

Katanya, pihak persatuan sering mengingatkan semua nelayan di Port Dickson yang berusia lingkungan 18 hingga 70 tahun supaya berwaspada daripada memasuki kawasan sempadan bagi mengelakkan mereka ditahan.

Nelayan di sini menggunakan bot jenis enjin dalam, enjin sangkut dan bot fiber berukuran 35 hingga 60 kaki untuk menangkap ikan seperti jenahak, kerapu, merah, senaling, parang dan tenggiri untuk dijual di pasar berdekatan, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: