Sabtu, 12 Disember 2015

[KEMASKINI] Sindiran perwakilan dalam bahas tanda tak puas hati tindakan kepada Muhyiddin

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ucapan perbahasan beberapa perwakilan yang berbaur sindiran, jelas menggambarkan rasa tidak puas hati mereka terhadap larangan kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015).
 
Veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia satu signal bahawa perwakilan jelas tidak bersetuju dengan larangan yang dikenakan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri itu.
 
"Anda boleh lihat tindakan daripada perwakilan sebentar tadi apabila mereka secara sinis merujuk kepada pengecualian Muhyiddin daripada menjadi sebahagian perhimpunan ini, menggambarkan rasa tidak setuju yang begitu jelas disuarakan oleh perwakilan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU2015) hari ini.
 
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Umno pada Selasa lalu, yang tidak membenarkan Muhyiddin berucap dalam sesi penggulungan PAU2015.
 
Ketika ditanya apakah keputusan Majlis Tertinggi tersebut merupakan satu cara untuk 'mendiamkan' Muhyiddin, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li enggan mengulas lanjut.
 
"Anda boleh tafsirkan ikut suka anda.
 
"Ia adalah perkara yang telah ditetapkan oleh peringkat Majlis Tertinggi," kata beliau. 
 
Mesyuarat pada Selasa lalu yang berlangsung hampir sejam itu memutuskan untuk tidak membenarkan Muhyiddin berucap sewaktu penggulungan PAU2015, dan ucapan penggulungan hanya akan dilakukan oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
 
Sebelum ini ura-ura mengatakan mesyuarat berkenaan bakal menentukan nasib Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas dilihat kerap melontarkan kritikan demi kritikan terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Bagaimanapun pemecatan Muhyiddin dan Shafie tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan sekaligus kedua-dua pemimpin tersebut masih memegang jawatan di dalam parti.  


Tiada ulasan: