Jumaat, 9 Oktober 2015

Zeti perlu telus dedah masalah dihadapi negara, kata majalah perniagaan

THE MALAYSIAN INSIDER



Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz digesa bersikap telus mengenai situasi yang dihadapi negara yang kini turut mempengaruhi ekonomi seperti kejatuhan nilai ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz digesa bersikap telus mengenai situasi yang dihadapi negara yang kini turut mempengaruhi ekonomi seperti kejatuhan nilai ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu jujur ​​berkenaan isu-isu yang melanda negara, kata Euromoney dalam edisi Oktober, seperti ringgit yang terus jatuh dan ekonomi mula perlahan.

Majalah perniagaan dan kewangan itu berkata selama ini Zeti menggunakan perkataan seperti "faktor dalam negara" untuk menggambarkan masalah yang melanda Malaysia, daripada berkata kesusahan disebabkan syarikat sarat hutang milik negara 1Malaysia Development (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Zeti menunjukkan melalui 15 tahun perkhidmatan cemerlang yang beliau bukannya seorang yang cepat melatah di bawah tekanan politik.

"Sekarang bukan masanya untuk beliau mula berbuat demikian. Ia akan memberi makna BNM yang diterajuinya selama ini tidak ada kelebihan langsung. "Zeti boleh mencuba lebih keras terhadap apa yang benar-benar mendatangkan masalah kepada negara. Sebagai pegawai awam paling dipercayai di Malaysia, beliau mempunyai sesuatu yang ahli politik tiada – kuasa hormat dan moral" kata majalah itu.

Walaupun jaminan daripada Putrajaya asas ekonomi Malaysia adalah kukuh, kebimbangan terhadap ekonomi semakin meningkat dengan ringgit, mata wang Asia paling teruk sejak setahun lalu, kini mencapai aras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini dikaitkan dengan tinjauan global yang semakin teruk, kejutan penurunan nilai yuan China, kejatuhan harga komoditi dan skandal politik semasa dikaitkan dengan Najib berhubung sumbangan penderma tidak diketahui dari Timur Tengah, 1MDB berhadapan siasatan berhubung penyelewengan kewangan yang didakwa.

Bagaimanapun, Euromoney berkata Zeti, 68, yang bakal bersara April depan, meneruskan siasatan ke atas 1MDB walaupun penyiasatan lain seolah-olah dihentikan.

"Zeti bukan penentang Najib, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka, tetapi kempen tersembunyi secara tiba-tiba menuduhnya rasuah adalah teruk," kata majalah itu.

Majalah itu berkata, jika Najib memecat Zeti, beliau mungkin mengeluarkan satu "halangan menjengkelkan" tetapi majalah itu memberi amaran akibat yang besar, menyifatkannya sebagai "tamparan amat buruk terhadap kredibiliti Malaysia".

"Sambutan pasaran terhadap penyingkiran beliau boleh membuatkan ringgit menjunam setakat ini, suatu tragedi kepada negara, dan membawa bersama jiran Asean.

"Selepas semua tempoh perkhidmatan cemerlang, ia adalah sesuatu menyedihkan jika ini menjadi latar belakang pemergian Zeti," katanya.

Bank Negara, yang menyiasat 1MDB berhubung pendedahan palsu yang didakwa, merayu kepada pendakwa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap pelabur negara.

Tetapi Jabatan Peguam Negara semalam mengesahkan tiada sebarang kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan palsu.

Ia dalam satu kenyataan berkata, mempertimbangkan rayuan bank pusat itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan memandangkan kekurangan bukti baharu.

Euromoney berkata, kelihatannya kejatuhan ringgit tidak akan berakhir dalam masa terdekat, memetik kebanyakan penunjuk utama Malaysia kini ke belakang.

Ia berkata Zeti tidak melakukan dengan baik apabila menegaskan ringgit yang merupakan antara 120 mata wang yang jatuh berbanding dolar AS dan pasaran "tidak adil" salah membaca perkembangan ekonomi Malaysia sebagai masih bergantung kepada komoditi dan bukan berkenaan kemungkinan kerajaan yang tidak mampu berfungsi, gangguan dan rasuah.

"Pasaran boleh menjadi tidak rasional, tetapi selepas 12-18 bulan intensifikasi skandal sekitar Najib dan 1MDB, pasaran tidak buta, tidak juga lalai," kata majalah itu.


Tiada ulasan: