SHAH ALAM: Tidak ada 'tempat' untuk
Parti Amanah Negara (Amanah) di Selangor kerana jelas ia ditolak oleh
masyarakat, demikian jelas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi
mengenai hasrat parti baru itu untuk bertapak di negeri berkenaan.
"Dia (Salahuddin Ayob) bercakap dalam keadaan yang ahlinya baru berapa
orang dan bagi saya Amanah tidak ada tempat di Selangor. Samada anak
muda ataupun golongan pertengahan, mereka tidak minat dengan Amanah yang
sekarang pun menarik ahli dikalangan PAS sahaja. Kita semakin sedar
bahawa tidak ada keperluan Amanah di Selangor", tegas Sallehin ketika
dihubungi Antarapos.
Sallehin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden
Amanah Salahudin Ayub yang menyifatkan Selangor dan Johor sebagai tapak
permulaan mereka dalam menentukan kerusi yang akan dipertandingkan dalam
pilihan raya umum akan datang.
Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga menyifatkan Amanah
masih berteka-teki untuk mencanang kerusi mana yang hendak
dipertandingkan sehingga kini, malah masih bergelut dengan PAS untuk
pertandingan 3 penjuru di kawasan dimenangi mereka.
"Realitinya sampai hari ini tidak tahu
Amanah tidak boleh nak menentukan mana kerusi yang dia akan bertanding
kalau dia berkata Selangor adalah tempat subur bagi Amanah.
"Bagi PAS (Selangor) kita tegaskan bahawa kita akan bertanding di
kerusi yang pernah ditandingi oleh PAS. Jadi maknanya kalau dia nak cari
tapak yang subur dia boleh cari tapak daripada DAP atau PKR", katanya.
Senada dengan pendirian itu adalah Setiausaha PAS Selangor Mohd
Khairuddin Othman yang berkata tiada ruang untuk Amanah berkembang di
Selangor memandangkan PAS masih bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Malah, kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali yang
menegaskan pembentukan gabungan pembangkang baru itu tiada kaitan dengan
pentadbiran kerajaan Selangor mencerminkan Amanah tidak diterima di
negeri berkenaan.
"Menteri Besar Selangor (Mohamad Azmin Ali) sudah bagi kenyataan
Pakatan Harapan bukan di Selangor tempatnya. Saya fikir Pakatan Harapan
selesaikan dahulu masalah dalaman. Selangor adalah kubu kuat Pakatan
Rakyat dan kita akan kekal di sini. Kalau (Pakatan Harapan) hendak
bertanding di Selangor, kita (PAS Selangor) nak tanya mahu bertanding di
kerusi mana? Kalau betul nak lawan UMNO, maka pergilah tumpu di tempat
UMNO.
ADUN Paya Jaras itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mendesak
Pakatan Harapan agar melebarkan sayap ke negeri lain di semenanjung dan
tidak mengganggu kerjasama Pakatan Rakyat di Selangor.
"(Kerjasama Pakatan Rakyat) Selangor tetap Selangor. Kita tidak akan
bagi kerusi dan laluan (kepada Amanah). Tetap akan jadi kerusi PAS. Kita
tidak akan kompromi dari segi kerusi (di Selangor).
"Tidak ada perbincangan tentang melepaskan kerusi PAS, kita akan kekal
bertanding di 20 kerusi dan kita minta Amanah bertanding di negeri lain
yang belum dimenangi, tumpukan di negeri lain kenapa nak tumpukan di
tempat yang menang?, katanya.
Salahudin hari ini berkata Selangor bakal memberikan pulangan yang
terbaik kepada Amanah sekiranya parti itu mengambil keputusan untuk
meletakkan calon pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
Selain itu, Salahudin turut berkata Amanah juga akan mempertimbangkan
bertanding di Melaka dan Negeri Sembilan berdasarkan kajian mereka
sendiri terhadap pengundi yang kemungkinan lebih dapat menerima parti
itu.
Status Pakatan Harapan di Selangor masih kabur apabila Azmin sebelum
ini mengambil jalan selamat untuk tidak mengulas lanjut berhubung status
Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan