SHAH ALAM - Susulan d‎ua pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat kapten dan leftenan komander di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dua minggu lalu atas pertuduhan menerima barang berharga bernilai lebih RM2 juta sejak tahun lalu, Su‎ruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dijangka akan mengenakan tuduhan‎ di bawah undang-undang pengubahan wang haram.

Difahamkan sekurang-kurangnya seorang pegawai TLDM akan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan rasuah lebih RM800,000.

SPRM dijangka akan membuat pertuduhan itu di Ipoh esok.

Sumber memberitahu pegawai itu ditahan di rumahnya di Lembah Klang semalam dan dilepaskan dengan jamin RM50,000.

"SPRM sedang mempertimbangkan pertuduhan tambahan yang berkaitan pengubahan wang haram di mana suapan yang diterima digunakan untuk memiliki harta lain dan kekayaan lain," kata sumber.

Kata sumber, seseorang yang disiasat berhubung kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 juga boleh dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. ‎

"Kita pernah mengenakan pertuduhan di bawah Akta ini sebelum ini ke atas beberapa individu. Jadi SPRM sedang mempertimbangkan kesalahn pengubahan wang haram dan hasil daripada aktiviti haram, yang ada kaitan dengan rasuah," katanya lagi.

Dua minggu lalu, ‎Kapten Abdul Aziz Gaffor dan Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, yang merupakan sebahagian daripada enam pegawai dan anggota TLDM, selain lima orang awam yang disiasat oleh SPRM) sejak Mac lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh dan Kuala Lumpur.‎

[ARTIKEL BERKIATAN: Pegawai TLDM tidak mengaku salah terima sogokan]

Kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie dan kes disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima pelbagai barang berharga tanpa balasan.

Abdul Aziz yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM didakwa atas tujuh pertuduhan menerima pelbagai barangan berharga tanpa balasan daripada Hussin Roslim @ Roslind, yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan hubungan kerja rasmi dengan tertuduh di antara Mac hingga Disember 2014.

Khairul Izwan pula yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM didakwa atas lima pertuduhan menerima pelbagai barangan berharga dari individu sama, yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan hubungan kerja rasmi dengan tertuduh di antara Januari 2014 hingga Februari 2015.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Hakim Rihaida menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan kes disebut semula 8 Oktober ini.

Pada Mac lalu, seramai 11 individu termasuk enam penjawat awam terdiri daripada pegawai dan anggota TLDM berpangkalan di Lumut ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Enam penjawat awam itu, termasuk seorang wanita dan seorang pegawai TLDM berpangkat Leftenan Komander, disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana disyaki menerima suapan sebagai upah atau dorongan untuk mengambil tindakan atau tidak mengambil tindakan, yang berkaitan dengan tugas rasmi mereka.

Manakala lima lagi orang awam yang terbabit pula disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta sama kerana disyaki memberi suapan.

SPRM melancarkan siasatan dan menahan kesemua suspek yang dipercayai saling mengenali itu selepas menerima aduan berhubung gaya hidup mewah mereka.

Selepas dibebaskan dari  tahanan reman selama 10 hari, semua individu terbabit kemudiannya diperintah mengisytiharkan harta mereka kepada pihak SPRM mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 untuk siasatan lanjut.

Pada 23 Mac, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengeluarkan kenyataan bahawa enam pegawai dan anggota terbabit telah dipindahkan ke jabatan dan lokasi lain dan akan dipantau dengan rapi.

Katanya tindakan itu diambil dengan kerjasama SPRM.

TLDM juga menunggu laporan seterusnya daripada SPRM sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap mereka.‎