Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan memanggil seorang lelaki yang membuat laporan itu di Balai Polis Sandakan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Pihak Cawangan Khas akan menyoal pengadu untuk mendapatkan butiran terperinci. Setakat ini, polis Sabah belum dapat memastikan kesahihan maklumat dalam laporan itu," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, malam ini.
Beliau berkata seorang lelaki bernama Jamil Omar membuat laporan polis dengan mendakwa ibu saudaranya menemui satu bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina.
Bagaimanapun, Jalaluddin berkata pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada laporan yang diterima itu benar ataupun palsu.
Dalam laporan itu, lelaki berusia 40-an itu mendakwa ibu saudaranya yang berasal dari Tawi-Tawi itu menemui bangkai pesawat berkenaan yang dipercayai MH370 di pulau itu pada awal September lepas.
Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan