Khamis, 8 Oktober 2015

Noramin: Selagi 'budak jawa Perak' benafas Najib selamat

MALAYSIAKINI


 


Juruhebah radio yang sangat terkenal suatu ketika dulu percaya tiada sesiapa pun dapat "menyentuh kewibawaan" Datuk Seri Najib Razak selain ada seorang "budak jawa Perak" di belakangnya.

Menurut Noramin, apa saja cubaan yang dilakukan untuk mencemar nama perdana menteri tidak akan berjaya kerana adanya "budak jawa Perak" berkenaan.

Noramin diyakini merujuk perkataan "budak jawa Perak" itu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri.

Lebih menarik, Noramin - atau nama sebenarnya Mohd Nor Amin - sangat yakin tiada sesiapa yang mampu mengancam Najib termasuk pihak yang "berstatus raja".

Status berkenaan dimuat naik petang ini.

Kenyataan itu dipercayai reaksi Noramin kepada situasi politik semasa yang menyaksikan Najib sedang menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak - termasuk kalangan pemimpin Umno sendiri - supaya berundur.

Beberapa individu pula disoal siasat atau ditahan kerana membangkitkan bermacam isu, termasuk 1MDB.

Kelmarin Majlis Raja-Raja Melayu meminta kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Mahu semua beri kerjasama

Dalam satu kenyataan, Majlis Raja-Raja menegaskan semua memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Noramin adalah bekas juruhebah Radio Televisyen Malaysia dan mewarnai bidang penyiaran terutama melalui Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK).

Dia juga diingati kerana menyediakan slot khas belajar bahasa Jepun, sehingga namanya dikenali sebagai Noramin Mosyi Mosyi.

Baru-baru ini Noramin juga menjadi perhatian apabila mencadangkan supaya ibadah haji dijalankan di negara luar.

Kenyataan itu dibuatnya ekoran tragedi kren terjatuh di Masjidil Haram.

Bagaimanapun status itu kemudian gagal dikesan, dipercayai dipadam.


Tiada ulasan: