Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin kesal berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berdolak dalik dalam isu membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak.
“Soalannya mudah. Adakah perjanjian 20 perkara Sabah dan 18 perkara di Sarawak sudah dilaksanakan? Mengapa menteri pusing jauh?” katanya sambil mengingatkan perjanjian berkenaan menjadi intipati kepada pembentukan Malaysia.
Beliau berkata demikian merujuk jawapan Nancy terhadap soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini sama ada keseluruhan perjanjian itu sudah dipenuhi atau sebaliknya.
Nancy pada sidang Parlimen didakwa tidak menjawab soalan sebaliknya berlegar kepada persoalan ‘perjanjian Malaysia 1963 dengan 18 perkara Sarawak dan 20 perkara Sabah adalah dua perkara berbeza’.
Mengingatkan BN supaya tidak memandang remeh tuntutan itu, Jimmy juga menekankan kepentingan Batu Sumpah Peringatan Perlembagaan yang didirikan di Keningau pada 31 Ogos 1964 yang menjadi aspirasi masyarakat pedalaman di Sabah.
“Adakah kerajaan akan memperakui semula segala jaminan pada Batu Sumpah lebih 50 tahun lalu? Jika benar-benar komited terhadap hak dan aspirasi Sabahan, BN perlu buktikan. Jangan sekadar berpolitik,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan