Datuk Mahfuz Omar menolak kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Hishammuddin Hussin bahawa titah raja-raja Melayu dalam isu 1MDB bermaksud baginda sekalian hilang kepercayaan kepada perdana menteri.
Sambil menyoal tafsiran sebenarnya, anggota parlimen Pokok Sena itu berkata baginda sekalian bertitah dalam bahasa istana yang berhemah dan masih menjaga maruah memanda perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Dalam kehidupan berkeluarga pun, adakala tidak perlu sang ayah bercakap menengking marahkan anak barulah anak-anak faham yang ayah tidak suka apa yang anak lakukan.
“Cukup dengan memek muka yang berkerut atau berdehem akan buat anak yang belum baligh pun faham dan akan berhenti melakukan perkara yang ayah tidak suka.
“Kalau anak buat juga akan merasalah penampar daripada sang ayah. Ini Najib memanda perdana menteri sudah berapa kali baligh? Takkan hendak tunggu raja-raja bertitah dalam bahasa "penampar Tokyo" baru nak faham?” soalnya.
Mahfuz tetap menegaskan bahawa titah raja-raja itu jelas membawa mesej supaya perdana menteri berundurlah secara terhormat.
Hishammuddin hari ini menolak tafsiran bahawa raja-raja Melayu hilang kepercayaan terhadap Najib berkaitan siasatan 1MDB.
Menyifatkan ia ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab, beliau berkata "Kalau raja-raja tak percaya, mereka akan cakap bulat-bulat.”
Felo kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura John Pang membuat tafsiran itu memandangkan raja-raja Melayu tidak pernah merujuk secara khusus isu-isu kerajaan dalam kenyataan.
Pada Selasa, Majlis Raja-Raja Melayu bertitah supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Baginda sekalian juga menegaskan semua pihak perlu bertanggungjawab memberi kerjasama sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan