Selasa, 20 Oktober 2015

Halal haram PAN mengikut empat neraca ilmu

Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN


BERIKUTAN kenyataan TGHH mengatakan Dr Qaradawi berfatwa haram menubuhkan parti Islam baru selagi PAS masih ada, PAN telah mengeluarkan kenyataan balasnya melalui Salahudin Ayub.

Sebenarnya saya kurang berminat mengupas perkara ini kerana fatwa itu hanya lahir dari mulut seorang ulama, yang layak menerima perbezaan pendapat. TGHH juga menasihatkan tidak perlu perbesarkannya

Tetapi oleh sebab masyarakat awam Malaysia begitu menyanjungi Dr Qaradawi hingga ramai yang muqni' dengan fatwanya, maka saya terpanggil untuk komen sedikit sebanyak.

MENGIKUT NERACA ULUM HADIS

Seandainya terdapat dua riwayat hadis yang cukup syarat bertembung, maka perlu melihat kepada perawinya manakah orang yang lebih thiqah (dipercayai) daripada yang lain.

Thiqah dinilai dari segala segi termasuk yang mana paling mengikuti sunnah, paling warak, paling berilmu, paling bermaruah dan sebagainya. Kalau perawi pertama solat sunat lebih sikit dari perawi kedua sekalipun, maka dipilih hadis dari riwayat pertama, dan hadis riwayat kedua dikira syaz dan jatuh ke martabat dhaif.

Antara peribadi TGHH dan Salahuddin Ayub, agaknya mana lebih 'thiqah'?

MENGIKUT NERACA USUL FIQH

Kenyataan Salahudin Ayub tidak boleh menjadi hujah bahawa Dr Qaradawi tidak berpendapat haram. Boleh jadi semasa pertemuan dengan Dr Mujahid itu Qaradawi masih belum mendengar dari pihak TGHH. Malah tidak ada bukti jelas daripada kenyataan Salahuddin yang menyatakan Dr Qaradawi menyatakan tidak haram.

Dari sudut dilalah kenyataan TGHH lebih kuat kerana jelas menyatakan Dr Qaradawi kata haram, dan itu didengari/dibaca oleh TGHH sendiri. Manakala kenyataan Salahuddin pula daripada perantaraan Dr Mujahid dan anjuran Qaradawi untuk pertemukan PAS-PAN tidak jelas menunjukkan pendapatnya tidak haram.

MENGIKUT NERACA ORGANISASI

TGHH lebih berautoriti untuk membawa suara Dr Qaradawi ke Malaysia. Sebarang periwayatan dari Qaradawi bersifat valid kerana TGHH dilantik oleh beliau menjadi timbalannya, sekaligus mengetuai Kesatuan Ulama Sedunia bagi rantau Asia Tenggara.

Salahuddin pula hanya Timbalan Presiden Amanah yang tidak ada kena mengena dengan Dr Qaradawi. Begitu juga Dr Mujahid. Sedangkan TGHH adalah orang kepercayaan Qaradawi. Walaupun TGHH tidak hadir mesyuarat agung Kesatuan Ulama, Qaradawi menghubungi sendiri TGHH sebelum mencalonkan nama beliau sebagai timbalan.

MENGIKUT NERACA AKHLAK/TASAUF

Jalan terbaik ialah bersikap wara'/ihtiyat atau berjaga-jaga. Apabila keliru antara halal atau haram, lebih baik berpegang kepada haram. Contohnya keliru halal atau haram telur penyu, maka lebih baik tinggalkan ia kerana ditakuti haram. Makanlah sahaja telur ayam.

Sekiranya keliru halal atau haramkah aku menyertai PAN, jalan terbaik adalah meninggalkan sahaja PAN, bimbang ia haram. Pergilah kepada yang diyakini halal iaitu PAS.

Neraca-neraca ini sepatutnya menjadi pegangan setiap masyarakat awam dalam menilai kesahihan dua berita yang dilihat bercanggah ini. Tetapi bagi mereka yang berautoriti untuk mengakses sendiri hubungan kepada Dr Qaradawi, maka sebaiknya mereka mendapatkan terus kepastian daripada tuan punya badan, sekadar untuk kepercayaan peribadi

Tiada ulasan: