Oleh Subky Latif
KENYATAAN Pejabat Peguam negara betapa tiada tindakan akan dikenakan kepada 1MDB justeru tiada bukti baru yang kukuh yang dikeluarkan sehari selepas perhatian sidang Raja-Raja atas skandal kompeni Kementerian Kewangan itu.
Tidak diketahui siapa dan jenis apa orang yang dapat menerima bulat-bulat kenyataan Jabatan Peguam Negara sekalipun ia bercakap betul. Secara umumnya rata-rata orang tidak percaya ia kenyataan yang benar.
Semuanya sekarang minta Peguam Negara memberi bukti yang kukuh sebab-sebab tiada asas kukuh untuk bertindak kepada 1MDB. Orang tanya adakah satu siasatan yang menyeluruh sudah dibuat dan siapakah penyiasat yang tidak menjumpai sebab-sebab ia boleh dikenakan tindakan.
Setakat ini tidak diketahui pihak yang diamanahkan membuat penyiasatan belum dapat membuat kerja sempurna kecuali Ketua Audit Negara. Jabatan Peguam Negara tidak diketahui sudah memulakan penyiasatan kerana Peguam Negara bertugas masa itu dibersarakan serta-merta kerana dikatakan sakit.
Jawatankuasa Kira-Kira Awam terhenti bekerja kerana Pengerusinya ditukar menjadi Timbalan Menteri. SPRM tidak diketahui sudah buat kerja atau tidak kerana menjalani rawatan, cuti sakit dan kecoh pegawai-pegawai ada yang ditukar tak tentu hala dan ada yang disiasat.
Ketua Polis Negara juga tidak tahu apa yang dibuatnya kerana dia sama banyak bercakap seperti menteri yang gilanya publisiti.
Yang diketahui sudah bekerja, Bank Negara dan Ketua Audit Negara. Ketua Audit sudah ada laporan awalnya. Tan Sri Zeti, Gabenor Bank Negara sudah menyampaikan cadangannya kepada Peguam Negara supaya tindakan kepada 1MDB dikenakan.
Reaksi Peguam Negara terhadap cadangan Bank Negara tidak memuaskan hatinya maka tiada tindakan dapat dibuat.
Bank Negara tidak sekadar menyampaikan laporan atas siasatannya ada kes atau tidak ada kes. Yang Tan Sri Zeti serahkan kepada Peguaam Negara ialah mencadangkan ia mengambil tindakan. Bank Negara tiada kuasa untuk bertindak. Yang ada kuasa Peguam Negara.
Kalau Bank Negara ada kuasa, sudah tentu akan ambil tindakan seperti beberapa langkah yang sudah dikenakannya iaitu menarik balik kuasa yang diberi kepada 1MDB untuk beroperasi. Sekarang Bank Negara sedang menuntut 1MDB memulang balik sekian bilion duit yang dihilangkannya.
Siasatan Bank Negara sudah siap lengkap dengan cadangan mengenakan tindakan. Ia tidak minta Peguam Negara ada kes atau tidak ada kes. Ia suruh bertindak.
Peguam Negara dengan ilmu, pengetahuan dan kepakarannya dari segi undang-undang tidak mengira cadangan Bank Negara itu ada kes untuk bertindak.
Yang Peguam Negara kena jawab adakah ia punyai kepakaran yang lebih tentang pengendalian kewangan dibandingkan dengan Bank Negara?
Peguam Negara sepatutnya tanya dulu Dr. Zeti tentang apa yang ia kurang faham tentang penggelapan kewangan. Apa lecehnya 1MDB yang Bank Negara suruh ambil tindakan? Bukan mengenepikan saja cadangan Bank Negara itu.
Peguam Negara sekarang adalah bekas hakim. Hakim biasanya dengar keterangan dulu sebelum jatuh hukum.
Sekarang Tan Sri Abu Kassim raja dari SPRM yang memendekkan pantang rawatannya hendak berbincang dengan semua Jawatankuasa Khas penyiasatan 1MDB yang belum dibubar walaupun belum berfungsi untuk membincangkan puaka 1MDB itu.
Jika ia dapat diadakan antara Peguam Negara, KPN, Ketua Audit Negara, ketua SPRM dan wakil ketua PAC – maka boleh Peguam Negara jawab mengapa tidakan tidak boleh diambil terhadap 1MDB dan mengapa cadangan Bank Negara tidak dilihat sebagai satu cadangan yang masak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan