Jumaat, 9 Oktober 2015

Erma Fatima tarik balik permohonan cerai terhadap suami

Bernama
 
Erma Fatima tarik balik permohonan cerai terhadap suami
Peguam pasangan terbabit memberitahu pasangan berkenaan telah berbincang secara baik dalam tempoh tiga minggu dan telah mencapai persetujuan dan keputusan yang positif. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Erma Fatima hari ini menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya yang difailkan Mei lepas, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Jamal Mohd Lokman Sulaiman yang mewakili Erma Fatima selaku plaintif di hadapan Hakim Syarie Mohamad Zaid Abdul Aziz.

"Mahkamah sebelum ini mengarahkan kedua-dua mereka melantik anggota keluarga terdekat sebagai wakil jawatankuasa pendamai (JKP) dalam kes perceraian ini.

"Bagaimanapun plaintif (Erma Fatima) bersetuju untuk menarik balik permohonan cerai untuk memberi peluang kepada suaminya membetulkan kesalahan," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Erma Fatima atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, dan suaminya, Bade atau Badaruddin Azmi, 51, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam itu memberitahu pasangan berkenaan telah berbincang secara baik dalam tempoh tiga minggu dan telah mencapai persetujuan dan keputusan yang positif.

Erma Fatima memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan itu bernikah pada 30 Nov 1990 dan memiliki lima anak angkat. 
 
 

Tiada ulasan: