Khamis, 8 Oktober 2015

DAP hilang sokongan Melayu dan Cina kerana terlalu angkuh

 
Pas menasihatkan pemimpin DAP supaya menjaga Pulau Pinang dengan baik untuk mengelak jatuh ke tangan BN pada PRU14.



nik-amar


PETALING JAYA : Pas menyelar kritikan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyatakan bahawa parti itu akan kehilangan sokongan di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya DAP yang akan hilang sokongan pengundi Melayu dan sebahagian pengundi Cina kerana sikap angkuhnya dan suka mencampuri urusan parti lain.

“Saya nasihatkan Tony Pua dan DAP supaya menjaga perlakuan dan pastikan kerajaan Pulau Pinang sekarang kekal.

“DAP akan hilang sokongan pengundi Melayu dan sebahagian pengundi Cina kerana sikapnya yang angkuh dan suka mencampuri urusan parti lain,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tony Pua yang menyatakan Pas kini kehilangan sokongan termasuk di Kelantan, negeri yang diperintah parti itu sejak sekian lama.

Tony Pua turut berkata, tiada sebab untuk rakyat Kelantan menaruh kepercayaan kepada Pas untuk menerajui lagi kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad meminta Tony Pua muhasabah diri dan memikirkan kembali siapa sebenarnya musuh DAP.

“Hendak tanya Tony Pua musuh dia siapa?BN atau Pas? Jangan hilang fokus,” katanya ringkas.

Tiada ulasan: